Polis tembak mati penjenayah india disyaki ahli Geng 36 Kuala Muda

SUNGAI PETANI – Seorang penjenayah disyaki ahli kumpulan kongsi gelap Geng 36 Kuala Muda mati ditembak selepas berbalas tembakan dengan sepasukan polis di Jalan Kuala Ketil menghala Kampung Jerong di sini awal pagi ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 5.45 pagi itu, suspek dikenali sebagai Mageswaran, 28, berjaya dikesan polis selepas disyaki terlibat dalam kejadian melepaskan tembakan ke arah sebuah kenderaan milik seorang lelaki dipercayai tokan dadah di Flat Paya Nahu di sini kira-kira pukul 11.30 malam semalam.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Senior Asisten Komisioner Mior Faridalathrash Wahid berkata, pasukan polis daripada Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Muda dan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah mengejar suspek sejauh kira-kira 20 kilometer dari Kuala Muda menghala Kuala Ketil.
“Kereta jenis Toyota Vios yang dipandu suspek dihimpit kenderaan polis sehingga menyebabkannya hilang kawalan lalu terbabas ke kiri jalan.
“Suspek terus keluar dari kereta dan melepaskan tembakan ke arah polis dan anggota polis kemudian membalas tembakan untuk mempertahankan diri sebelum suspek berjaya ditembak mati di tempat kejadian,” katanya kepada pemberita di lokasi kejadian di sini hari ini.
Turut berada di tempat kejadian ialah Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah.
Kata beliau, siasatan mendapati suspek merupakan penjenayah dikehendaki polis membabitkan kes bunuh seorang wanita berketurunan India di Paya Nahu pada tahun lalu, kes samun dan juga kes memiliki senjata berbahaya selain mempunyai 11 rekod sabitan lampau.
“Bagi kes melepaskan tembakan malam tadi, siasatan mendapati mangsa ada menerima satu ugutan menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) berbunyi ‘lu jaga-jaga’ dan ia sepadan dengan maklumat yang diperoleh dalam telefon bimbit yang kita jumpa di lokasi kejadian,” ujarnya.
Tambahnya, kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh.
Sumber : Bernama