Bukan kes buli tapi demam denggi berdarah punca pelajar mati

ALOR GAJAH: Pelajar lelaki sebuah sekolah menengah di Masjid Tanah, di sini, yang meninggal dunia Ahad lalu, bukan kerana dipukul pelajar lain, sebaliknya akibat demam denggi berdarah.
Hasil bedah siasat yang dijalankan Hospital Alor Gajah ke atas mayat D Antony, 13, yang menghadapi masalah lembam mendapati pelajar itu mempunyai tanda diserang penyakit terbabit.
Ketua Polis Daerah, Superintendan A Asmadi Abdul Aziz, berkata perkara itu disahkan selepas sampel hati mangsa diambil untuk dianalisis Jabatan Kimia.
Sehubungan itu, beliau mengingatkan orang ramai supaya tidak mempercayai spekulasi kononnya pelajar itu meninggal dunia akibat dibuli dan dipukul pelajar seperti yang tular di media sosial sejak beberapa hari lalu.
“Doktor sudah beri penjelasan kepada keluarga pelajar itu sebab kematian adalah demam denggi berdarah dan contoh hatinya (mangsa) sudah diambil untuk dianalisis Jabatan Kimia.
“Jadi, tidak timbul isu perkauman dalam kes ini, sebaliknya ia diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Antony disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Kem Terendak, Sungai Udang, kira-kira sejam selepas dibawa ke hospital itu oleh bapanya, M Devite, 36, berikutan anaknya mengadu sesak nafas kira-kira jam 12 tengah hari.

Screenshot dari media sosial yang mengandungi spekulasi tidak betul menurut Ketua Polis Daerah
Devite sebelum ini dilaporkan, mendakwa kematian anaknya dipercayai mempunyai kaitan dengan dakwaan mangsa yang dibuli di sekolahnya sehingga mengalami kesakitan pada kaki kiri pada 24 Januari lalu.
Susulan itu, abang Devite, Joseph, 39, membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Alor Gajah pada malam Ahad lalu.
Sumber : BeritaHarian
http://www.bharian.com.my/berita/kes/2019/01/526185/denggi-berdarah-punca-pelajar-mat