Lelaki maut ditetak dipercayai rakannya sendiri

SEORANG lelaki ditemui mati akibat ditetak dengan parang oleh individu dipercayai rakannya di Batu 5, Jalan Kampung Jawa, Shah Alam, hari ini.
Dalam kejadian 4 petang itu, mangsa, R Dharmaraj, 34, ditemui orang awam dalam keadaan terbaring berlumuran darah di kawasan lapang.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib berkata, bertindak atas maklumat itu, pihaknya bergegas ke lokasi kejadian dan mendapati mangsa cedera dengan lapan kesan tetakan di muka, tangan dan kaki.
“Hasil siasatan awal berdasarkan keterangan saksi dan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di sebuah kuil berdekatan mendapati mangsa datang di tempat kejadian bersama seorang lelaki.
“Mangsa membonceng motosikal Honda EX5 ditunggang suspek. Namun, tidak lama kemudian, suspek dilihat mengejar mangsa dengan parang panjang dan kembali ke motosikalnya bersendirian lalu melarikan diri.
“Mayat mangsa ditemui orang awam kurang 30 meter dari kuil berkenaan lalu menghubungi ambulans untuk tindakan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan, malam ini.
Beliau berkata, mangsa dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahiman (HTAR) Klang untuk bedah siasat.
Katanya, usaha mengesan suspek sedang giat dilakukan dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
“Kami sedang mengumpul maklumat mengenai mangsa dan usaha mengesan warisnya sedang dilakukan.
“Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat diminta supaya menyalurkannya ke balai polis berhampiran atau menghubungi Pegawai Penyiasat, Asisten Superintendan Effandi Main di talian 013-3414487 atau 03-55202222,” katanya.