2 warga Bangladesh ditembak mati ada kaitan penemuan mayat jari kaki dipotong

KUALA LUMPUR: Dua lelaki warga asing yang ditembak mati dalam kejadian di Taman Mudun, Batu 9, Cheras, di sini, awal pagi tadi, mempunyai kaitan dengan penemuan satu mayat di bawah jejambat di Jalan Yew, 13 Januari lalu.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim, berkata hasil siasatan dan risikan mendapati kedua-dua suspek itu disyaki terbabit dengan kes berkenaan.

Katanya, ketika siasatan dijalankan polis menemui petunjuk pembabitan mereka dalam mendalangi satu sindiket menculik warga asing.

“Pada 8 Februari, polis menerima satu laporan penculikan seorang lelaki warga Bangladesh di Jalan Ipoh, dan penculik meminta wang tebusan sebanyak RM200,000 daripada keluarga mangsa di Bangladesh.

“Hasil siasatan mendapati suspek adalah dua lelaki Bangladesh yang sama, kemudian polis berjaya mengesan lokasi mangsa culik ditahan iaitu di sebuah rumah di Taman Mudun, Kajang, Selangor.

“Satu operasi menyelamatkan tebusan dijalankan pada jam 1.35 pagi tadi, anggota polis yang menyertai operasi berkenaan diancam dengan beberapa das tembakan oleh kedua-dua suspek sebelum insiden berbalas tembakan berlaku sehingga menyebabkan kematian kedua-dua suspek,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Mazlan berkata, susulan itu polis menyelamatkan seorang mangsa culik lelaki warga Bangladesh berusia lingkungan 30-an yang berada di dalam sebuah bilik rumah berkenaan.

“Ketika pemeriksaan di rumah berkenaan, polis menemui sepucuk pistol jenis semi auto dan sebilah parang panjang di sisi suspek yang ditembak mati sementara pihak forensik tidak menemui sebarang dokumen pengenalan diri pada suspek.

“Siasatan lanjut mendapati kedua-dua suspek terbabit secara langsung dalam 13 kes penculikan warga Bangladesh di sekitar Kuala Lumpur membabitkan kerugian wang tebusan sebanyak hampir RM2.5 juta,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya turut menahan dua lelaki warga tempatan berusia lingkungan 30-an disyaki ahli kumpulan sindiket penculikan dan merampas sebuah kereta jenis Perodua Alza yang dipercayai digunakan untuk menculik mangsa.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 365 Kanun Keseksaan yang jika disabitkan kesalahan boleh dihukum penjara sehingga tujuh tahun dan dikenakan denda.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkenaan kes ini boleh memaklumkannya kepada pegawai penyiasat Inspektor Mohd Yusman Ab Ghani di nombor 011-23128387 atau Pusat Kawalan Polis Kuala Lumpur di nombor 03-21460522 sambungan 584/585 atau menghubungi balai berhampiran,” katanya.

Terdahulu, BH melaporkan dua lelaki warga asing dipercayai dalang sindiket penculikan sekitar Kuala Lumpur dan Selangor ditembak mati dalam kejadian di Taman Mudun, Batu 9, Cheras, dekat sini, awal pagi tadi.

Sumber : BH

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.