Biografi Tokoh Negara Tun V.T. Sambanthan dan sumbangan beliau kepada Negara dan Kaum India

Kehidupan awal Tun V.T. Sambanthan
Tun Veerasamy Thirugnana Sambanthan atau lebih dikenali sebagai Tun V.T. Sambanthan. Beliau dilahirkan pada 16 Jun 1919 di Sungai Siput, Perak. Beliau merupakan anak kepada Andiappan Veerasamy dan Sengammal dari etnik Tamil. Bapa beliau, M.S. Veerasamy datang ke Tanah Melayu pada tahun 1896 merupakan antara penanam pokok getah awal di Sungai Siput, Perak dan memiliki beberapa ladang tanaman pokok getah. Adik-beradik Tun Sambanthan ialah V. Meenachi Sundram, V. Krishnan dan V. Saraswathy.
Tun Sambanthan telah berkahwin dengan Umasundari yang merupakan anak kepada seorang jurutera Jabatan Kerja Raya. Umasundari merupakan seorang lulusan universiti dalam bidang kimia dan mempunyai harapan untuk melanjutkan pelajaran di Jerman. Pada tahun 1959, Sambanthan menerima seorang anak perempuan hasil daripada perkahwinannya dengan Umasundari. Anak perempuannya bernama Devakunjari.
Selepas Tun Sambanthan menamatkan persekolahan rendahnya di Sungai Siput, beliau telah dihantar ke Kuala Kangsar untuk menyempurnakan persekolahan menengahnya di Sekolah Clifford. Beliau amat cemerlang dalam pelajarannya dan kemudian memperoleh Ijazah Sarjana Muda Sastera dari Universiti Annamalai di India Utara dalam jurusan ekonomi. Semasa menuntut di sana, Tun Sambanthan tidak ketinggalan mengikuti keadaan politik di India. Beliau pernah mengambil bahagian dalam satu protes dibawah pimpinan Quit India Movement dan mengalami kecederaan suatu masa dahulu.
Darurat, Era permulaan serta krisis Parti Kaum India M.I.C dan Rundingan Kemerdekaan Parti Perikatan
Selepas Perang Dunia Kedua, golongan elit profesional India telah bersama dan bersatu dibawah ideologi semangat nasionalisma India. Pada 1946, golongan elit India di Tanah Melayu menubuhkan MIC. Untuk lapan tahun pertama, pemimpin MIC terdiri daripada golongan yang berasal dari Utara India atau Malayalee kelas atasan, dan mereka ini merupakan etnik minoriti dari kalangan kaum India di Tanah Melayu. Majoriti kaum India (90%) di Tanah Melayu pada waktu itu kebanyakkannya dari kelas buruh berasal dari Selatan India iaitu etnik Tamil dan diikuti etnik Telugu serta Malayalee. Etnik Sikh pula kebanyakkannya tergolong dalam kelas pengawal keselamatan / askar Gurkha dan pentadbiran.
Apabila darurat diisytiharkan oleh British pada 1948 untuk menentang kebangkitan komunis, menyebabkan perubahan peraturan dan undang-undang pergerakan kesatuan perdagangan yang membawa kepada perubahan kepimpinan kesatuan perdagangan daripada orang Cina yang lebih tersusun kepada orang India. Akibat tidak jelas dengan objektif MIC membawa kesan kepada status pekerja ladang kaum India pada ekonomi Malaysia dan kesannya masih diperdebatkan hingga kini.
Pada tahun 1954, berlakunya perdebatan hangat didalam MIC sama ada mahu menyertai perikatan dengan UMNO dan MCA yang telah muncul sebagai pergerakan politik utama di dalam negara ini. MIC telah bergerak seiring dengan parti pimpinan Datuk Onn Jaafar iaitu Parti Malaya Merdeka dan kemudiannya Parti Negara. Menurut Rajeswary Ampalavanar, penulis buku The Indian Minority and Political Change in Malaya 1954 hingga 1957, kepimpinan MIC agak cenderung untuk menyertai parti Perikatan namun terdapat tentangan dari ahli parti. Mereka menyatakan kesanggupan untuk menyokong andai parti dapat memberi jaminan daripada Perikatan pada isu yang melibatkan hubungan antara kaum terutama yang melibatkan soal pendidikan kaum India.
Kemudian presiden MIC, K.L. Devaser mendapat kritikan hebat dari media Tamil kerana tidak mengambil perhatian mengenai isu yang dihadapi oleh komuniti. Walaupun beliau bersuara lantang, namun pengaruh beliau lebih banyak dikalangan golongan elit India yang tinggal di bandar dan beliau kurang mendapat sokongan akar umbi. Beberapa pihak dalam parti merasakan yang mereka perlukan pemimpin yang mempunyai hubungan yang kuat dengan akar umbi.
Pada Mac 1955, terdapat laporan akhbar harian Tamil Murasu menyeru golongan Tamil agar memboikot MIC. Sambanthan, yang waktu tersebut merupakan pemimpin MIC negeri, muncul sebagai calon alternatif untuk pimpinan parti. Menurut rekod sejarah, beliau sebenarnya dipaksa untuk bertanding jawatan presiden. Calon lain, P.P. Narayanan, telah dihampiri oleh pimpinan parti namun beliau menolak tawaran tersebut kerana ingin fokus dalam aktiviti kesatuan.
Sambanthan juga menolak namun akibat tekanan dari pimpinan Tamil menyebabkan beliau akhirnya bersetuju untuk memimpin parti. Beliau dipilih menjadi presiden MIC pada Mei 1955. Sambanthan juga diterima oleh kepimpinan Melayu kerana beliau bersuara dengan tidak begitu lantang termasuk dalam bidang ekonomi dan lebih cenderung untuk menyuarakan mengenai hak mengenai budaya dan bahasa. Antara cabaran utama MIC ialah untuk menyatukan aspirasi diantara golongan pertengahan dan kehendak golongan buruh yang pada 1938 terdiri 84% daripada buruh ladang.
Sambanthan mula berkempen untuk usaha menambah ahli parti dikalangan pekerja ladang, dengan menaungi ajaran Hindu dengan cara yang popular dari Selatan India, meningkatkan penggunaan bahasa Tamil mengadakan aktiviti kebudayaan Tamil. Namun MIC dibawah Sambanthan gagal untuk menyatukan kehendak buruh dengan aspirasi politik dari golongan pertengahan. Golongan tradisional dan kelas pertengahan rendah telah mengukuhkan pengaruh mereka didalam parti, manakala golongan kelas atasan profesional dan intelek mula menjauhi parti. Hal ini menyebabkan berlakunya dua haluan kepimpinan muncul dikalangan orang India dari segi politik dan kesatuan dagang.

Tokoh Kemerdekaan Negara
Dibawah kepimpinan Sambanthan, MIC telah menjadi parti Tamil. Sambanthan berkhidmat sebagai presiden MIC dari tahun 1955–71 dan bertanggungjawab mentranformasikan parti dari sebuah parti yang aktif dan organasi berasaskan politik kepada parti yang konservatif, bercirikan tradisional, mengangkat kebudayaan, agama dan bahasa. Parti ini juga merupakan parti yang paling lemah dikalangan tiga parti utama Perikatan. Parti ini mempunyai sokongan yang paling kecil iaitu 7.4% pada 1959; dan mempunyai sokongan kecil daripada komuniti India. Tun Sambanthan, ketika menjadi presiden MIC, membantu mengukuhkan parti dari segi ekonomi dengan menjual separuh dari ladang getah bapanya yang berkeluasan 2.4 km² untuk membantu komuniti India dan parti.
Pilihanraya Pertama Tanah Melayu, Kepakaran Tun Sambanthan dalam rundingan dan Hubungan rapat dengan Tunku Abdul Rahman
Tahun 1955 merupakan tahun yang membawa kemajuan untuk Tanah Melayu ke arah pemerintahan sendiri. Pihak pentadbiran British telah bersetuju untuk mengadakan pilihanraya persekutuan yang pertama pada Julai 1955 dan Sambanthan serta merta terlibat dalam politik pilihanraya. Beliau telah menghadapi cabaran dan selepas rundingan dengan pimpinan Perikatan dan MIC telah ditempatkan untuk bertanding dua kerusi di Batu Pahat , Johor, dan Sungai Siput, Perak. Sambanthan bertanding di kerusi Sungai Siput dan menang dengan bergaya. Perikatan telah menang 51 daripada 52 kerusi dalam pilihanraya tersebut
Selepas kemenangan tersebut, Sambanthan telah dilantik sebagai ahli kabinet dan mengangkat sumpah sebagai Menteri Buruh didalam kerajaan Perikatan. Kerajaan ketika itu mengambil keputusan untuk mendesak agar disegerakan peralihan kuasa dan delegasi Perikatan telah ke London pada Januari 1956 untuk berbincang mengenai beberapa isu termasuk rundingan untuk mendapat kemerdekaan dengan Setiausaha Dalam Negeri Britain, Alan Lennox-Boyd.
Sewaktu awal tahun 1956, Sambanthan memimpin delegasi MIC dalam rundingan diantara parti dalam Perikatan untuk melakar memorandun untuk dipersembahkan kepada Suruhanjaha Reid. Sambanthan merupakan perunding yang berkebolehan dan beliau berkerja keras untuk memastikan kehendak kaum India terjamin, dan dalam masa yang sama berhati-hati dalam menyentuh isu sensitif. Beliau pada waktu tersebut dikritik oleh ahli parti kerana dilihat berlembut dalam beberapa isu tertentu, namun Sambanthan menghadapai semua itu dengan tenang dan sentiasa mengambil jalan tengah dalam berunding.
Disebabkan itu beliau telah dipuji oleh Tunku. Rundingan terakhir untuk merdeka pada Mei 1957 juga dilihat sebagai perubahan peribadi dalam diri Sambanthan. Ketika di London untuk berunding mengenai perlembagaan, Tunku Abdul Rahman memutuskan bahawa Sambanthan memerlukan pakaian baharu. Sambanthan telah mencetuskan beberapa kontroversi apabila beliau dilihat memakai pakaian Tamil iaitu dhoti semasa dilantik sebagai Majlis Perundangan Persekutuan. Pakaian tersebut dilihat sebagai taboo pada zaman British. Sambanthan walaubagaimanapun mempertahankan keputusannya dan berkata, “Ini akan membuatkan orang kebanyakkan merasa gembira”. Malah selepas pilihanraya pada 1955, apabila beliau dilantik sebagai Menteri Buruh, beliau tetap memakai pakaian tradisional India Tamil walau kemana sahaja beliau pergi.
Kemudian apabila berada di London, Tunku memutuskan untuk melakukan sesuatu. Seperti yang Tunku sentuh dalam bukunya Looking Back: “Apabila berjalan dengan saya di London, beliau selalu tertinggal dibelakang kerana beliau tidak dapat melangkah dengan cukup panjang untuk mengejar langkah saya, ataupun mungkin saya yang berjalan terlalu laju. Pada satu hari apabila kami keluar berjalan, saya membawa beliau ke kedai pakaian lelaki Simpson’s di Piccadilly. Apabila sampai disana, saya berkata ‘Masuklah; Saya ingin beli pakaian baru’, jadi beliau mengikut saya masuk kedalam. Saya kemudian meminta tukang jahit untuk menyediakan suit terbaik yang telah siap dan muat dengan Sambanthan. Beliau protes, namun hanya sementara kemudian menerima tanpa tentangan dan keluar sebagai orang baru dalam suit yang baru – buatan Barat, kemeja baru, tali leher baru, kasut baru dan stoking baru.”
Tunku juga menyatakan selepas insiden tersebut, Sambanthan tidak berpuas hati dengan hanya satu suit dan beliau secara senyap-senyap keluar dan membeli beberapa suit lagi. Ketika debat untuk membentuk Perlembagaan Persekutuan dalam Majlis Perundangan Persekutuan pada 10 Julai 1957, Sambanthan mendesak untuk kerajasama yang lebih besar diantara komuniti, dan beliau mengingatkan ahli majlis bahawa Tanah Melayu merupakan negara yang berbilang kaum.
Kejayaan MIC diketika itu banyak didorong oleh hubungan rapat diantara Tun Sambanthan dan Perdana Menteri, Tunku Abdul Rahman. Sambanthan berkerja dengan MIC dengan cara yang santai dan tidak formal. Berbeza dengan UMNO yang banyak melaksanakan program dengan tujuan yang khusus. Kesannya, ianya banyak menjadi penghubung untuk menaungi (undi daripada dewan senat dan dewan rakyat, pancalonan untuk anugerah dan pingat serta lesen) penyokong dan menambahkan undi kaum India di Malaysia kepada MIC.
Apabila Tun Abdul Razak Hussein mengantikan Tunku Abdul Rahman sebagai Perdana Menteri Malaysia, MIC telah didesak untuk lebih mengikut keputusan UMNO. Perkara ini berlaku selepas Insiden 13 Mei dan Tun Razak lebih bersemangat daripada Tunku untuk menonjolkan Ketuanan Melayu.
Sambanthan yang kini bergelar “Tun”, telah dipaksa untuk meletakkan jawatan MIC dan menyerahkannya kepada V. Manickavasagam pada 1973 dalam satu plot perebutan kuasa dimulakan oleh watak baru dalam politik kaum india dan anak didik Sambanthan sendiri iaitu Tun S. Samy Vellu.
Jasa Tun Sambanthan dalam Aspek Pendidikan, Sosial dan Ekonomi
Setelah Tun V.T Sambanthan mengambil alih pengurusan di estet daripada ayahnya, beliau telah menganjurkan kelas mengajar bahasa Inggeris untuk pekerja-pekerja di estetnya. Hal ini demikaian kerana beliau mengetahui hanya melalui proses belajar dapat memajukan diri sendiri dan ekonomi negara. Pada masa itu, taraf hidup orang India amat rendah dan kebanyakan mereka hidup dalam serba kekurangan. Justeru, masyarakat India pada masa itu masih ketinggalan dalam pelbagai aspek. Perkara ini disedari oleh Tun Sambanthan. Untuk membantu pekerja-pekerjanya memperbaiki taraf hidup mereka, beliau telah memberikan peluang kepada mereka untuk memperlajari bahasa Inggeris yang amat penting dalam pergaulan seharian. Beliau berbuat demikian supaya masyarakat India tidak akan terus ketinggalan dalam pelbagai aspek serta dapat memperbaiki kehidupan mereka.
Penglibatan awal Sambanthan dalam politik bermula dengan niatnya untuk membangun dan menyatukan kaum India. Atas dasar itu beliau menganjurkan Majlis India Bersatu Perak pada tahun 1953. Dalam tahun yang sama juga beliau dilantik sebagai pengerusi MIC Perak. Peristiwa yang melonjakkan nama menjadi pemimpin utama politik MIC ialah ketika kunjungan oleh Vijaya Lakshmi Pandit, adik perempuan Perdana Menteri India, Pandit Jawaharlal Nehru. Sambanthan telah lama berkawan dengan Vijaya Lakshmi ketika beliau terlibat dengan Kongres Nasional India sewaktu belajar di Universiti Annamalai.
Pada 14 Ogos 1954, Tun V.T Sambanthan telah menubuhkan sebuah sekolah Tamil yang bernama Mathama Gandhi Kala Salai di estet beliau dengan bantuan pegawai-pegawai British pada masa itu Sekolah ini dirasmikan oleh Pun Vijayaletchumi Pandit yang dijemput oleh Tun Sambanthan. Tujuan beliau menubuhkan sekolah ini adalah untuk memberikan pelajaran kepada anak-anak pekerja di estet. Kanak-kanak yang belajar di sekolah ini berpeluang mempelajari bahasa Inggeris kerana pada masa itu Tun Sambanthan telah bersetuju untuk memasukkan pelajaran bahasa Inggerris ke dalam semua sekolah Tamil di Perak. Dengan adanya sekolah ini, anak-anak pekerja estet berpeluang mendapatkan pendidikan yang sempurna walaupun keluarga mereka miskin. Selain memberikan pendidikan kepada kanak-kanak kaum India, Sambanthan juga berharap sekolah ini dapat membantu negara melahirkan generasi yang berpengetahuan serta akan berbakti kepada negara dalam pelbagai bidang.
Seterusnya, Tun.V.T.Sambanthan telah mengadakan perkhidmatan bas kepada kanak-kanak estet supaya mereka dapat melanjutkan persekolahan di bandar. Pada masa itu, kemudahan pengangkutan amat kurang atau hampir tiada di kawasan pedalaman. Kemudahan pengangkutan hanya tertumpu di kawasan bandar yang lebih maju. Keadaan ini telah menyusahkan penduduk di kawasan pedalaman terutamanya para pelajar yang ingin melanjutkan persekolahan di bandar. Untuk mengatasi masalah ini, Sambanthan telah menyediakan perkhidmatan bas bagi memudahkan para pelajar yang ingin melanjutkan persekolahan di bandar. Perkhidmatan bas yang desediakan oleh Tun Sambanthan sekurang-kurangannya dapat mengatasi masalah pengakutan yang dihadapi oleh penduduk pedalaman selama itu.
Rentetan itu, Tun Sambanthan telah mengasaskan sebuah akhbar mingguan yang diberi nama Malai Naadu. Editor bagi akhbar ini ialah Encik V. Meenachi Sundram dan pejabat penerbitannya terletak di Sungai Siput. Usaha murni ini adalah untuk menggalakkan keluaran surat khabar dalam negara dan bukannya dari luar negara lagi. Dalam akhbar ini, akibat buruk ketagihan todi telah dilaporkan. Hal ini demikian kerana pada masa itu, banyak pekerja-pekerja estet suka minum minuman todi dan mengalami ketagihan yang telah merosakkan pretasi dalam perkerjaan mereka. Pekerja-pekerja estet juga telah membazirkan banyak wang dalam membeli minuman todi. Perkara ini menyebabkan ramai orang India hidup dalam keadaan aerba kekurangan.
Untuk mengasi masalah ini, Tun Sambanthan meminta akhbar Malai Naadu untuk mengeluarkan artikel yang berkaitan dengan keburukan meminum minuman todi. Beliau telah berkempen dengan bergiat menentang tabiat minum minuman todi dan menggalakkan sifat berjimat cermat dalam kalangan ahli pekerja-pekerja este untuk menangani masalah tersebut. Tun Sambanthan berupaya bertindak sendiri untuk mengeluarkan akhbar-akhbar di Tanah Melayu tanpa bergantung kepada orang luar. Perkara ini telah menjadi salah satu usaha untuk menggalakkan proses Malayanisasi.
Tambahan pula, Tun Sambanthan mencadangkan pemindahan Tabung Imigrasi Orang India Selatan kepada satu tabung pendidikan untuk anak-anak pekerja estetnya supaya mereka mendapatkan manfaatnya. Tun Sambanthan telah mendesak Encik Manikavasagam yang ketika itu menyandang jawatan Menteri Buruh dan juga Timbalan Presiden MIC untuk mengubahsuai perlembagaan tabung. Beliau berbuat demikian kerana beliau ingin memberikan bantuan kewangan kepada anak-anak pekerja ladang yang belajar di sekolah menengah dan juga universiti. Dengan melaksanakan pemindahan Tabung Imigrasi Orang India Selatan kepada satu tabung pendidikan, banyak pelajar telah mendapatkan manfaatnya. Sebagai contoh, empat orang pelajar telah menerima biasisiwa untuk melanjutkan pelajaran di universiti tempatan. Sebagai Presiden MIC, Tun Sambanthan telah memikul tanggungjawab untuk memastikan keperluan tabung dapat dimanfaatkan oleh masyarakat estet itu sendiri supaya berlakunnya sebarang penyelewangan.
Akhir sekali, Tun Sambanthan telah menubuhkan Persatuan Koperasi Kewangan dan Tanah Kebangsaan atau The National Land Finance Cooperative Society (NFLCS) bersama dengan K.R Somasundram pada tahun 1960. Persatuan ini ditubuhkan kerana pada akhir 1950-an dan awal 1960-an telah berlakunnya fragmentasi estet. Pada masa itu, beribu-ribu pekerja estet orang India telah dibuang kerja. Beliau percaya koperasi hanya adalah satu jalan keluar badi mengatasi masalah fragmenatsi. Cabaran getir ini telah mendorong Tun Sambanthan menubuhkan NFLCS. Pekerja-pekerja estet telah digalakkan untuk membeli saham dalam koperasi, yang tujuan utamanya adalah membeli estet-estet besar untuk menghalang fragmentasi. Dengan bayaran pendaftaran sebanyak RM2 hingga RM100(yang dibayar secara beransur) seorang pekerja boleh memiliki satu saham dalam koperasi dan mempunyai sati taruhan dalam estet.
Tun Sambanthan sendiri talah melawat seluruh negara untuk mendaftarkan ahli baru. Estet pertama yang dibeli ialah di Bukit Sidim, Kedah. Semasa beliau meninggal dunia pada tahun 1979, NFLCS telah berjaya membeli 18 estet yang mempunyai jumlah luas kawasan 30,000 ekar yang ditanam dengan pokok getah, koko, kelapa sawit, buah kelapa dan teh. Bilangan ahlinya pula meningkat kepada 85,000 orang. Atas usaha beliau dalam menggerakkan koperasi, beliau telah digelar sebagai Bapa Koperasi.
Tun Sambanthan dan Aspek Kepimpinan Beliau
Kesimpulannya, sebagai seorang pemimpin India, Tun V.T. Sambanthan telah banyak berjasa dalam usaha memajukan masyarakat India dalam pelbagai bidang. Melaui aktiviti sosioekonomi yang dijalankan, beliau telah menonjolkan ciri-ciri kepimpinan yang sesuai dengan aspirasi orang India di Malaysia. Atas jasa dan sumbangan Tun Sambanthan, beliau telah dianugerahkan pingat kebesaran P.M.S pada Ogos 1959 dan S.S.M pada Jun 1967. Beliau juga dikurniakan Doktor Kehormat Dalam Undang-Undang (Hononary Doctor of Law ) oleh Universiti Malaya pada Julai 1971.
Beliau pernah memegang portfolio sebagai Menteri Buruh, Menteri Kesihatan, Menteri Tenaga, Menteri Pos dan Telekomunikasi serta Menteri Perpaduan Negara. Untuk makluman, Tun V. T. Sambanthan juga pernah menjadi pemangku Perdana Menteri selama sehari apabila Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri keluar negara pada waktu yang sama. Setelah meletakkan jawatan sebagai presiden MIC, beliau telah dilantik sebagai pengerusi Badan Perpaduan Nasional daripada 1974 sehingga 1978. Badan tersebut menggantikan Kementerian Perpaduan Nasional.
Sepanjang tempoh menjadi menteri kabinet, begitu banyak jasa yang telah dicurahkan oleh Sambanthan, terutama berkaitan dengan perpaduan rakyat yang berbilang kaum. Tun Sambanthan juga telah menyumbangkan tenaga dalam usaha menuntut kemerdekaan. Tun Sambanthan merupakan seorang yang mementingkan toleransi, keharmonian dan kerjasama pelbagai bangsa dan kaum di negara kita apabila beliau menjadi pemimpin. Beliau merupakan pengikut ajaran Mahatma Gandhi yang mempraktikkan anti-keganasan untuk mencapai kemerdekaan.
Pada ketika kerajaan Malaysia memutuskan untuk melarang tarian singa milik kaum Cina dan ketegangan antara kaum tinggi selepas insiden 13 Mei 1969, Tun Sambanthan sebagai Menteri Perpaduan Nasional pada awal 1970-an telah membawa beberapa pemimpin kaum Cina ke Genting untuk berbincang bagi meredakan keadaan. Perbincangan tersebut berjaya dan sekatan kerajaan ke atas tarian singa telah ditamatkan kerana kerajaan sedar bahawa adalah penting untuk mempertahankan budaya kaum-kaum yang ada di Malaysia.
Nama Tun Sambanthan diabadikan pada stesen LRT Tun Samanthan dan Wisma Tun Sambanthan yang terletak di Kuala Lumpur bagi mengenang jasa beliau. Beliau meninggalkan dunia pada 18 Mei 1979 ketika berumur 59 tahun. Pada upacara pengebumian beliau, hampir 15,000 orang telah hadir untuk memberikan penghormatan terakhir, termasuk Tunku Abdul Rahman, sahabat karibnya dan Tun Tan Siew.

Puan Uma di upacara pengebumian suaminya Tun Sambanthan dan berdiri sebelahnya ialah Presiden MIC Tan Sri Manickavasagam, Timbalan Kementerian Sumber Manusia K.Patmanabhan
Kredit & Nota : Artikel ini telah disunting untuk bacaan ringkas oleh editorial Tamizhar Media dengan sumber rujukan daripada buku yang ditulis oleh ;
- Puan Ummadevi Suppiah Ph.D (Sejarah Malaysia / Sains Sosial)
- Saudara Iskandar Zulqarnain @ Kolumnis Orang Perak
- TheNutGraph.com