Rompak dalam lif stesen MRT: Lelaki dipenjara 18 tahun, lima sebatan

KUALA LUMPUR: Seorang lelaki yang mendapat perhatian ramai selepas rakaman video perbuatannya merompak dan mencederakan seorang wanita di dalam lif stesen MRT tersebar di media sosial pada Februari lalu, dihukum penjara 18 tahun dan 5 sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini.
Hakim, Mahyon Talib menjatuhkan hukuman itu ke atas G Thinathayaalan, 26, yang didapati bersalah merompak selepas pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah terhadap tertuduh.
“Setelah mendengar hujahan kedua-dua pihak, mahkamah memutuskan tertuduh gagal menimbulkan keraguan munasabah dan pihak pendakwaan berjaya membuktikan keraguan munasabah dalam kes ini,” katanya selepas tertuduh selesai memberi keterangan membela diri dari kandang tertuduh.
Mahkamah memerintahkan tertuduh yang bekerja sebagai pembaiki penghawa dingin menjalani hukuman penjara itu dari tarikh tangkapan pada 18 Februari lalu.
Tertuduh didakwa merompak dan sengaja mencederakan pengurus bank, Lee Meei Shan, 48, dengan melarikan kad pengenalan, lesen memandu, 2 kad ATM bank, 2 kad kredit bank dan wang tunai RM400 di dalam lif Stesen MRT di Taman Mutiara, Cheras pada 6.45 pagi 14 Februari lalu.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah seksyen sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh juga dikenakan sebatan.

Tangkap layar daripada satu rakaman video menunjukkan G Thinathayaalan menyerang pengurus bank, Lee Meei Shan dalam lif Stesen MRT Taman Mutiara, Cheras, Februari lalu.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Nurliyana Mohd Jafri memohon hukuman setimpal berbentuk pengajaran kerana mengambil kira kesalahan serius tertuduh.
“Dalam kes ini, tertuduh mencederakan mangsa sehingga mengalami kesan lebam di kepala, muka dan badan mangsa, serta mengalami trauma kesan daripada kes ini. Perbuatan ini sangat tidak berperikemanusiaan dan kes ini juga telah tular di media sosial serta mendapat perhatian media.”
Bagaimanapun, Thinathayaalan yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan.
Sepanjang perbicaraan sejak 29 April lalu, 9 saksi pendakwaan dan seorang saksi pembelaan, iaitu tertuduh sendiri dipanggil memberi keterangan.
Dalam kejadian pada 6.45 pagi 14 Februari lalu, rakaman video selama 55 saat menunjukkan wanita itu diserang seorang lelaki ketika menaiki lif di Stesen MRT Taman Mutiara.
Belum sempat pintu lif ditutup, suspek dilihat terus menyerang mangsa dengan menumbuknya di muka menyebabkan mangsa jatuh. – Bernama