Hanya rajin derma darah, lelaki ini tak perlu bayar bil perubatan RM19,713!

Saudara Noorshafry Abdul Malik, 48 berkongsi pengalamannya yang tidak perlu membuat sebarang pembayaran di Unit Hasil Hospital Serdang walaupun telah menjalani rawatan perubatan yang sepatutnya memakan belanja tinggi, hanya disebabkan tabiatnya yang suka menderma darah.
Masalah kesihatan yang dialami Noorshafry telah menyebabkan dia dimasukkan serta ditahan di dalam wad selama 35 hari disamping menjalani 6 kali pembedahan.
Noorshafry yang merupakan penderma darah tegar telah menjadikan ianya satu kebiasaan buat dirinya untuk menderma darah setiap 3 bulan sekali. Noorshafry yang memiliki darah jenis O+ berkata, dia mula menderma darah sejak 2004 ketika kilang tempat dia bekerja dulu di Bukit Ibam, Muadzam Shah, Pahang menganjurkan program itu.
Tanpa disedari, rutinnya itu akhirnya membuahkan hasil dan pada masa yang sama telah menyelamatkan dirinya apabila dia mendapat pengecualian penuh daripada membayar bil keseluruhan rawatan hospitalnya, semua gara-gara sekeping buku merah lusuh yang ada dalam simpanannya.
Baca perkongsian penuh di bawah:
Assalammualaikum.
Ni nak cerita kebaikan buku merah.
35 hari dalam wad dan 6 kali pembedahan. Akhirnya saya dibenarkan pulang oleh doktor selepas penyakit dah beransur pulih. Cuma jantung pula rasa aktif lebih daripada biasa bila ke kaunter HASIL.
Jumlah keseluruhan adalah RM 19,713.00 manakala jumlah yang perlu dibayar dan subsidi dari kerajaan adalah RM 878.00.
Saya pun hulur buku merah ini pada kaunter, “Puan, buku merah saya ini boleh membantu saya ke untuk dapatkan diskaun?”
Selepas sahaja pegawai kaunter itu membelek buku merah saya. Terus dia print bill yang lain sambil tersenyum dan berkata, “Encik tak perlu bayar apa-apa pun.”
Waktu itu saya rasa amat terharu dan sujud syukur, “Terima kasih Kementerian Kesihatan Malaysia.”
Harapan saya selepas ini adalah supaya sahabat-sahabat saya yang baca kisah saya ini boleh buat apa yang saya lakukan iaitu derma darah sekali setiap 3 bulan.
Lama-kelamaan dapat meringankan beban kita bila kita terima rawatan di hospital nanti. Anda tidak akan menyesal. Jom derma darah!
Oleh itu, jadikanlah aktiviti menderma darah sebagai satu rutin setiap 3 bulan, kerana banyak manfaat yang boleh diperoleh darinya! Anda boleh membaca kisah Noorshafry yang juga disiarkan oleh Harian Metro di sini.