Atlet Berbakat Tinggi Sree Abiraame Terima ‘Sponsorship’ RM800k

SHAH ALAM, 23 Ogos – Atlet luncur ais termuda Selangor, C. Sree Abiraame mendapat suntikan semangat apabila menerima penajaan berjumlah RM800,000 daripada Yayasan OMS untuk ‘membuka jalan’ kepadanya membidik pingat emas di Sukan Olimpik Musim Sejuk Milan 2026.
Penajaan yang mencakupi pembiayaan pelbagai sesi latihan dan persediaan sama ada di dalam dan luar negara untuk tempoh tujuh tahun itu disampaikan oleh pengerusi yayasan tersebut, P. Thiagarajan kepada bapa atlet perempuan berumur lapan tahun berkenaan, B. Chandren dalam satu majlis di sini hari ini.
Upacara simbolik penyerahan cek cura penajaan disaksikan Pengarah Eksekutif Majlis Sukan Negeri Selangor (MSNS) Adi Faizal Ahmad Tarmizi dan Presiden Persatuan Meluncur Ais Selangor Mohamad Fadzli Johan.

P. Thiagarajan
Sree Abiraame atau lebih mesra dipanggil Abi, mula melibatkan diri dalam sukan luncur ais berirama sejak berumur tiga tahun yang bakatnya dicungkil oleh bapanya selepas melihat kanak-kanak itu amat gemar meluncur ais setiap kali melancong ke luar negara.
Sehingga kini, Abi telah menjuarai pelbagai kejohanan sukan luncur ais sama ada di dalam dan luar negara dengan merangkul lebih 40 pingat yang 34 daripadanya dimenangi hanya dalam tempoh sembilan bulan lepas.
Abi turut melakar nama dalam Malaysia Book of Record (MBOR) kerana menjadi atlet termuda memenangi pingat emas dalam kejohanan luncur ais peringkat antarabangsa pada 2017 selain atlet muda paling banyak meraih pingat dalam sukan sama pada tahun ini.
Menurut Adi Faizal, pelbagai kejuaraan antarabangsa yang dirangkul Sree Abiraame pada usia semuda itu amat dikagumi dan berharap penajaan tersebut dapat meningkatkan lagi usaha kanak-kanak berkenaan untuk giat berlatih seterusnya meraih pingat emas yang diidamkan.
“Atlet ini masih terlalu muda, baru berumur lapan tahun. Pada temasya Sukan Olimpik (Musim Sejuk) 2026 nanti, beliau sudah berumur 15 tahun dan kita lihat, umur itu adalah umur yang cukup sesuai untuk Sree Abiraame menghasilkan pingat emas pertama kepada negara.
“Walaupun jumlah penajaan itu belum cukup untuk memenuhi keseluruhan pembiayaan latihan dan persediaan atlet berkenaan, namun ia diharap sekurang-kurangnya dapat membantu Sree Abiraame menjalani latihan saringan di Rusia bulan depan,” katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan penajaan itu, di sini hari ini.
Tambah beliau, MSNS juga bersedia membantu pihak keluarga dan jurulatih atlet muda berkenaan untuk mengembangkan lagi potensi Sree Abiraame pada masa depan selain turut menggalakkan lebih banyak syarikat korporat untuk menaja atlet berbakat besar itu.
Dalam pada itu, mengulas mengenai perkembangan terkini Abi, Chandren berkata anaknya akan berlepas ke Rusia pada 16 Sept ini bagi menjalani latihan saringan selama dua minggu untuk melayakkannya memasuki sebuah akademi latihan luncur ais berirama ternama di negara berkenaan.
“Untuk layak memasuki akademi itu, Abi perlu berlatih selama 72 jam dan jika dia dapat memuaskan hati jurulatih di situ yang kebanyakannya bertaraf Olimpik, baru Abi dapat menyertai akademi berkenaan.
“Proses untuk membawa Abi ke peringkat Sukan Olimpik bukan mudah, kos latihan amat tinggi. Pelbagai cabaran perlu ditempuhi. Namun anak saya tidak pernah patah semangat. Dia sungguh komited dengan latihan dan dia mahu berjaya seperti pemenang pingat emas pada temasya berkenaan. Saya amat berbangga dengannya serta menyokong penglibatannya,” katanya.
SUMBER-BERNAMA