Respect hati baik saudara Thiban, kata abang Melayu ini

“SAYA kagum dengan sikapnya kerana sanggup membantu orang dalam kesusahan tanpa menghiraukan perbezaan kaum dan agama,” kata Mohamad Taufik Zainuddin, 27, mengulas mengenai ciapan dimuat naiknya di Twitter.
Menerusi ciapan berkenaan, Mohamad Taufik berkongsi kisah adiknya, Mohamad Asyraf Zainuddin, 25, yang terbabit kemalangan motosikal selepas terlanggar pembahagi jalan di Subang Jaya, Selangor kira-kira 5 pagi pada 21 January 2020.
Berikutan kemalangan itu, Mohamad Asyraf mengalami kecederaan di tangan dan lutut namun bernasib baik kerana dibantu pemuda india tidak dikenalinya bernama Thiban.
Mohamad Taufik berkata, dia tahu mengenai kemalangan membabitkan Mohamad Asyraf sehingga dihubungi ibunya.
“Kemalangan berlaku ketika adik dalam perjalanan dari Tanjung Malim, Perak ke tempat kerjanya di Putrajaya.
“Saya hanya terjaga dari tidur selepas dihubungi mama yang mahu saya bergegas melihat keadaan adik memandangkan mama berada di Pahang atas urusan kerja.
“Belum sempat menghubungi adik, saya menerima panggilan daripada Thiban iaitu pemuda yang membantu adik di lokasi kemalangan,” kata Taufik.
Menurutnya, sementara menunggu ambulans tiba, Thiban membantu menjaga kunci, motosikal dan barangan peribadi milik adiknya.
“Bukan saja membantu adik ketika kemalangan malah Thiban turut menjaga motosikal dan barangan adik sebelum dihantar mendapatkan rawatan di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).
“Saya sudah bertemu dengannya untuk mengucapkan terima kasih ketika mengambil motosikal dan barangan adik petang tadi,
“Sewaktu pertemuan itu, saya hulurkan wang sebagai tanda terima kasih dan mulanya dia menolak tetapi akhirnya menerimanya selepas beberapa kali dipujuk,” katanya.
Mohamad Taufik berkata, dia tidak sangka perkongsiannya itu mendapat perhatian warganet namun gembira seandainya kisah berkenaan memberi inspirasi kepada mereka yang membaca.
“Ikutkan, ciapan itu dimuat naik sekadar untuk berkongsi pengalaman saja tetapi banyak pula maklum balas diterima.
“Malah, ramai juga yang berkongsi pengalaman serupa. Kalau boleh, kita mahu lebih ramai insan seperti Thiban dan diharap, perkongsian saya itu dapat memberi inspirasi kepada semua untuk berbuat kebaikan tanpa mengira kaum atau agama,” katanya.
Sumber: Harian Metro