Perkongsian Latar Belakang K.K.I

Selamat sejahtera dan salam perpaduan kepada semua rakan-rakan. Sekadar perkongsian mengenai diri saya kepada yang baru menjadi kawan dalam media sosial. Terlebih dahulu saya ingin jelaskan bahawa saya terpaksa kongsikan coretan ini dalam hantaran post laman web kerana saya tidak dapat kongsikan kisah ini dalam facebook. Tidak pasti sama ada terdapat larangan (restriction) pada akaun akibat ‘direpot’, masalah pada aplikasi, artikel panjang, mengandungi perkataan sensitif atau apa-apa. Sebabnya apabila cuba kongsi hantaran ini beberapa kali dari akaun saya, ia hilang secara automatik selepas seketika. Kongsi hantaran pendek dan komen boleh tetapi artikel ini pulak tak dapat. Jadi tanpa lengahkan masa dengan fikir puncanya, saya terus kongsi melalui cara ini. Saya pun tergelak juga terpaksa kongsi dengan cara ini, tetapi tiada pilihan lain yang bagus. Mari kita terus ke cerita.

Saya Krishna Kumar Illangovan, berumur 30 tahun, asal Kuala Lumpur dan tinggal di sini juga, bujang. Kerja sebagai logistik eksekutif di sebuah syarikat pembekal barangan I.T Networking terletak di Mont Kiara. Anak sulung dalam keluarga dengan 2 adik lelaki. Ayah penjawat awam DBKL dan emak suri rumah. Kedua-dua mereka asal KL juga.

Saya menggunakan facebook / media sosial ini untuk berkongsi perkara mengenai perpaduan, nasionalisme, kemanusiaan, sejarah orang Tamil iaitu etnik terbesar dalam kaum minoriti India Malaysia, perkara umum serta sejarah orang dan negara India keseluruhanya termasuk isu-isu kontroversi melibatkan agama-kasta, sosial, sedikit mengenai geopolitik, cadangan / idea-idea baru dan pelbagai perkara-perkara menarik yang saya rasa harus dikongsi demi kebaikaan semua. Yang pasti ialah, perkongsian saya semestinya akan lain, unik daripada perkongsian kebanyakaan sahabat-sahabat india atau tamil yang anda kenal di sekeliling. Sebabnya akan diterangkan di bawah.

Tulisan saya mengenai ‘Isu Palestin adalah Isu Kemanusiaan dan bukanya agama’ yang bertujuan menegur segelintir rakyat Malaysia berjiwa Zionis pada Mei 2021 jadi viral sehingga mendapat 8000 perkongsian dalam masa yang singkat. Hasil dari tulisan viral tersebut, saya telah dijemput oleh beberapa pertubuhan terkenal seperti GEMA, IKRAM, Dewan Bahasa & Pustaka, dan Universiti Malaya bahagian Pusat Dialog Peradaban sebagai panel untuk memberi pandangan saya dengan lebih lanjut, malah, mendapat penghargaan dan sokongan dari pelbagai pihak. Sebelum itu, saya juga adalah antara yang terawal membuat laporan polis dengan lanjut terhadap kumpulan NGO India yang bersama Dong Zhong disokong oleh beberapa pemimpin tempatan, menganjurkan protes Anti Khat / Jawi pada tahun 2019 di Brickfields, walaupun sedar akibatnya dari komuniti saya sendiri.

Sejak itu apabila saya menulis atau berkongsi perkara mengenai bab orang india, perpaduan, nasionalisme dan lain-lain, saya kadang-kadang menerima atau lebih tepat dikecam melalui beberapa soalan yang berbunyi “kau ni siapa, apa motif atau agenda kau?”, “apa kelayakan kamu nak bercerita pasal perkara ini?”, “sila berhenti atau jangan menulis bab ini” dari segelintir orang. Walaupun dah berjaya jawab soalan segelinitir ini, masih ada yang baru timbul dengan soalan yang sama. Jadi untuk rujukan bagi semua di masa hadapan, menjawab persoalan dan sebagai jambatan perhubungan dengan rakan-rakan baru, saya menulis coretan ini menjelaskan semua.

Bermula dari pendidikan, saya merupakan seorang pelajar cemerlang dalam ujian peperiksaan dari UPSR sehingga STPM, terutamanya dalam subjek-subjek seperti Bahasa Melayu, Sejarah, Sains, Perdagangan dan Kesusasteraan Melayu. Cuma selepas STPM walaupun dapat ‘pointer’ CGPA yang bagus, saya tidak dapat melanjutkan pelajaran ke tahap seterusnya kerana diselubungi beberapa isu seperti kemuncak masalah antara ketua keluarga (ibubapa) yang berlanjutan sejak sekian lama (bab ini maaf saya tidak dapat huraikan dengan lanjut kerana ia boleh membuka aib keluarga), masalah kewangaan kerana tidak mendapat sokongan dari pihak sepatutnya, malah saya berkerja secara sambilan sejak zaman SPM lagi untuk tampung perbelanjaan sendiri dan dalam fasa antara SPM dan STPM, saya terjerumus ke kancah kegelapan kumpulan kongsi gelap.

Bab kongsi gelap saya boleh huraikan dengan lanjut. Saya dari sekolah rendah lagi, memang seorang yang suka baca buku, sejarah, lihat dokumentari, selalu terokai perkara baru berkaitan ilmiah disebabkan perasaan rasa ingin tahu, seorang yang warak (pernah mendapat tempat pertama dalam pertandingan keagamaan ‘Thevaram’ peringkat daerah Bangsar, menghafal mantera vedas / upanishad, malah boleh membuat pooja semasa amalkan ajaran hindu.(Walaupun bukan lagi mengamalkan ajaran hindu sebab tak berkenaan dengan beberapa perkara, saya bukan atheist tetapi seorang yang percaya pada Tuhan yang satu tiada rupa. Cuma saya dalam perjalanan pencarian saya sendiri, hehex. Bab ini panjang dan kita bincang kemudian). Selain dari itu, saya juga seorang pemalu, lemah-lembut dan mempunyai kerangka badan yang kecil. Perkara-perkara seperti di atas membuatkan saya selalu menyendiri, kurang bergaul dan ia juga membuatkan orang lain ambil kesempatan dengan membuli saya secara fizikal dan verbal. Berlaku di dua tempat iaitu di kawasan flat bandar yang kami sekeluarga pindah dari kampung dan sekolah. Dua-dua persekitaran baru untuk saya sebab saya asalnya lahir, hidup dalam persekitaran kampung yang kemudian berpindah ke bandar Bangsar pada tahun 1999 semasa berumur 9 tahun.

Oleh kerana saya ini jenis ‘introvert’ dan mempunyai kesukaran luahkan sesuatu perkara kepada yang lain, saya pun hadam sahaja semua masalah dihadapi saya. Pendam, pendam dan pendam sehingga satu hari saya pun tidak tahu bagaimana ia meletup bagaikan bom nuklear. haha. Saya terajang dan pukul balik dua pembuli. Terkejut mereka dan dari itulah berlakunya transformasi drastik dalam diri saya. Apabila saya berbuat demikian lahir satu rasa puas hati dan ingin ‘luahkan’ lagi. Dalam fasa perubahan itulah, saya terjumpa dengan seorang ‘Abang’ kongsi gelap. Oleh kerana saya dahagakan kasih sayang, sokongan dan teruja lihat pengaruh kongsi gelap ini, saya pun percaya pada kata-kata dan perbuatan ‘Abang’ ini. Dapat duit tepi, backup orang jika berlaku apa-apa masalah dan paling penting dapat peluang untuk ‘luahkan’ perasaan pendam saya tetapi dengan syarat perlu membantu ‘Abang’ tersebut buatkan beberapa kerja. Saya pun buatlah dengan harapan dan kasih sayang palsu. Pada masa ini, saya masih berkerja sambilan, bergiat dalam aktiviti kongsi gelap dan belajar STPM. Kemuncaknya, selepas keputusan STPM keluar, saya tidak sambung belajar sebaliknya mula fokus dengan kegiatan kongsi gelap dan acara ‘pukul-memukul’. hahaha. Begitulah hidup saya, luangkan masa dengan kawan-kawan kongsi gelap, melakukan beberapa kerja-pelan risiko tinggi, berkunjung ke kelab malam minum arak dan cari pelbagai masalah. Oleh kerana saya pandai sedikit, saya berjaya ‘cover line’ aktiviti-aktiviti saya tetapi walau apa pun, saya bersyukur terima kasih kepada Tuhan kerana sepanjang tempoh masa tersebut iaitu 3-4 tahun dalam kongsi gelap, saya tak pernah ambil dadah, jadi kaki perempuan atau hal-hal berkaitan kerana tujuan asal saya saya terlibat dalam kongsi gelap adalah kerana hendak luahkan rasa pendam saya secara fizikal dan inginkan satu bentuk perlindungan atau kasih sayang sebab saya membesar dalam situasi tidak stabil / ‘insecurity’ sejak kecil.

Pada akhir tahun 2012 berlaku satu peristiwa yang memberi impak kuat dan menyedarkan saya. Dalam tempoh masa 3-4 tahun berada dalam kancah kongsi gelap, saya telah mengumpul dendam segelintir termasuk ‘senior’ yang saya kenali atas beberapa sebab. Jadi pada 30 Disember 2012, selepas menghadiri majlis hari jadi kawan saya di Bangsar dan pulang keseorangan dengan menaiki motorsikal, saya telah ditahan oleh 6-7 lelaki india ‘senior’ yang dalam keadaan mabuk. Mereka pun berkata-kata mengenai saya, kemudian pegang kolar baju dan tampar saya. Darah muda mengalir deras dalam diri, dan saya pun balas balik, bergaduhlah, haha. Dah macam filem tamil pulak tetapi itulah yang terjadi. Tiba-tiba ‘duuuuum’ kedengaran bunyi kuat ! Salah seorang dari mereka ambil topi keledar KHI saya dan pukul di kepala saya. Hentakan yang cukup padu sehingga saya rebah ke bawah, selepas itu dipukul bertubi-tubi di kepala sehingga topi keledar saya pecah, dipukul dengan manga besi motorsikal dan coverset motorsikal saya dipecahkan. 30 minit dilenyekan oleh kumpulan ini dan saya pun jerit, hadang muka dengan tangan saya dan satu ketika saya fikir ‘habislah riwayat saya’. Tiba-tiba, turunlah satu rakan dan keluarganya yang saya kenali mendengar jeritan saya. Mereka tarik saya, membawa ke tepi dan cuba bercakap dengan kumpulan tersebut. Saya boleh lihat satu kawasan kejadian penuh dengan darah saya dan baju polo putih yang saya pakai menjadi warna merah. haha. Saya ringkaskan cerita, saya pergi sendiri ke Balai Polis Travers, buat laporan dan pergi sendiri ke Pusat Perubatan Taman Desa untuk rawatan lanjut. Beberapa jahitan, diberikan ubat dan doktor beritahu ada sedikit rekahan di kepala dan tulang tangan tetapi tidak serius. Selepas itu, kejadian tersebut tersebar di kalangan kawan-kawan dan orang sekeliling. Saya pula yang masih tidak puas hati dengan kejadian tersebut telah memanggil ‘Abang’ besar tersebut untuk perbincangan dengan kumpulan tersebut. Saya ingatkan akan dapat timbal balik secara ‘one to one’ atau terima sejumlah gantirugi dalam perbicangan tersebut tetapi terkejut saya apabila mendengar ‘Abang’ tersebut kata “baik dua-dua pihak berdamai, kita semua satu keluarga, dan Kumar (iaitu saya) pun ada buat kesalahan”. Saya bertanyakan pada abang tersebut “kenapa semasa saya buat kesalahan tersebut dan anda lihatnya tidak tegur saya anne ? Kenapa perlu tunggu sehingga saya dipukul sehingga hampir mati baru nak katakan ? Kenapa perlu dua-dua damai tanpa gantirugi sedangkan yang kena teruknya ialah saya ? Kamu pentingkan rangkaian dan aliran geng kamu jadi kamu cover ‘senior’ kamu tu, jadi selama ini kamu mempergunakan saya dengan kata-kata manis ? !”. Tiada jawapan untuk persoalan saya dari sesiapa dan saya dengan kuat nyatakan “lepas nie jangan sesiapa cari saya, saya keluar dari segala-galanya, apa yang saya tahu semua kekal rahsia, jangan tegur walaupun terserempak di luar dan saya nak ikut jalan saya sendiri !”. Senang saya tuliskan tetapi satu proses yang panjang dan rumit sebelum saya dapat keluar dari hubungan kongsi gelap dengan sepenuhnya.

Selepas itu, satu hingga dua tahun diperlukan untuk saya bagi memahami apa yang berlaku dan ke arah mana saya harus pergi. Cabaran dan detik yang amat sukar sehingga satu tahap akibat kemurungan yang tinggi, saya hampir membunuh diri dengan menerjun dari flat kerana tiada sesiapa yang mampu membimbing atau memberi jawapan untuk soalan saya. Kemudian satu suara halang saya daripada melakukan perkara bodoh sebegitu. Beberapa persoalan bermain dalam minda iaitu siapa diri saya ?, saya harus menabur bakti kepada komuniti setempat dan buat sesuatu kepada golongan yang terkesan sama seperti saya dan kepada yang muda agar tidak terkesan, tetapi saya tidak tahu apa yang hendak dibuat.

Pada tahun 2015, saya membuat keputusan untuk sertai sebuah NGO India dengan harapan dapat membuat sesuatu kepada komuniti dan di samping itu, tingkatkan kemahiran diri saya. Perjalanan saya bermula pada tahun itu dan masih berterusan sehingga hari ini. Sepanjang tempoh masa tersebut, banyak pengalaman ditimba, pencapaian dan saya telah menganggotai lebih dari 3 buah NGO, menjawat pelbagai jawatan dari ahli biasa hingga timbalan pengerusi, melakukan pelbagai aktiviti, program kemasyarakatan, berjumpa dengan pelbagai orang dari pelbagai latar belakang, malah pernah menjadi kordinator media untuk dua calon parti politik semasa kempen pilihan raya. Tidak lupa juga saya menghadapi pelbagai masalah dan terpaksa naik turun balai polis sepanjang tempoh tersebut. Disebabkan saya seorang introvert, saya lakukan kebanyakan aktiviti atau kerja sosial dinyatakan atas di belakang tabir.

Walaupun menganggotai pelbagai pertubuhan dan uruskan pelbagai portfolio, saya tidak kekal lama di mana-mana pertubuhan atau mempunyai hubungan rapat dengan pemimpin pertubuhan tersebut. Hal ini kerana saya bertelingkah dengan mereka dalam isu pengurusan pertubuhan, agenda, visi dan saya mendapati arah tujuan mereka bertentangan dengan prinsip saya. Ya pelbagai ragam dari tiada kualiti untuk memimpin, mementingkan wang-populariti, gunakan dana atau kepakaran seseorang untuk kepentingan peribadi, agenda sendiri, kaki perempuan, tiada integriti atau ‘standard’ kelas dan banyak lagi. Perkara-perkara ini saya lihat selepas bersama dengan mereka untuk seketika di mana terdapat dua muka berlainan (peribadi dan umum). Sebagai seorang yang telah lalui pelbagai detik-detik sukar dalam kehidupan dan seterusnya ingin membuat sesuatu untuk komuniti, untuk saya ingin berbuat baik, buatlah dengan ikhlas dengan satu identiti, tak perlu berlakon, talam dua muka.

Pada pertengahan tahun 2019, hala tuju dan pemikiran saya berubah selepas melawat nenek saudara di Tamil Nadu, India, bersama keluarga, melihat persekitaran di sana, merasai sendiri perjalanan moyang saya yang berhijrah ke Tanah Malaya untuk kehidupan sempurna akibat ditindas oleh bangsa sendiri atas nama kasta dihalalkan melalui agama. Selepas seketika, saya mengambil keputusan untuk tidak menyertai mana-mana pertubuhan tetapi berkerjasama secara neutral menyentuh bab perpaduan dengan pihak yang saya rasa mempunyai misi jelas, latar belakang yang telus dan niat yang ikhlas. Saya juga mengambil keputusan untuk bergerak secara solo, menonjolkan diri saya dan lebihkan menulis perkara-perkara berkaitan perpaduan selepas akaun facebook terdahulu saya direpot sehingga hilang sepenuhnya oleh segelintir.

Sejak terlibat dalam aktiviti kemasyarakatan, boleh dikatakan saya telah mencapai beberapa kejayaan dan pelajari perkara-perkara baru. Sebagai contoh, saya menukarkan minda remaja-remaja bermasalah di tempat saya kepada yang berkualiti, berguna kepada masyarakat, memberi pencerahan kepada orang yang saya kenali mengenai tanggungjawab dan hidup dan ada lagi yang saya tak ingat. Kena rujuk fail-fail saya. Nanti saya sediakan satu hantaran khusus untuk bahagian ini. Seorang yang mempunyai pengetahuan kosong dalam bab multimedia, i.t, fotografi, komunikasi, perhubungan awam tetapi berjaya menimba pengetahuan, kemahiran dengan usaha sendiri dan akhirnya asaskan portal sendiri serta berkerjasama dengan beberapa kumpulan besar dalam industri media. Sejak saya kembali ke normal selepas 3-4 tahun dalam zaman kegelapan, saya fokus pada pada pembangunan sahsiah-disiplin diri, kualiti hidup, lebih mengkaji membaca, jauhkan diri dari tabit / perkara yang memudaratkan diri, hobi baru, menuju ke arah kerohanian pelbagai agama, membuat kebaikan kepada semua, dan yang penting fikirkan solusi atau jalan penyelesaian kepada masalah di sekeliling kita.

Sekarang, selepas waktu habis kerja, saya mula memberi perhatian penuh kepada dua benda iaitu pertama, portal media sosial ‘Tamizhar Media’ yang dah setahun lebih tak aktif akibat sibuk dengan komitment di mana saya kendalikan ia bersama rakan-rakan sejak terlibat dengan ngo-ngo ini, dan kedua, inisiatif TEMPAT (Terminal Perpaduan Masyarakat) memfokuskan komuniti Melayu dan Tamil india. Saya melihat perpaduan sebagai perkara asas untuk pembangunan, kestabilan sesebuah negara. Benteng rakyat iaitu Sultan-Sultan kita pun selalu mengeluarkan titah berkaitan perkara yang sama. Jadi saya mulakan inisiatif perpaduan dari dua bangsa ini dahulu kerana saya percaya mempunyai hubungan dan kawan rapat, serta pencerahan asas dengan dua bangsa ini. Saya membesar dalam pengaruh kedua-dua bangsa ini dan semakin saya mengkaji sejarah serta keadaan semasa, saya dapati ada beberapa persamaan budaya dan sentimen antara mereka. Jadi apa kata, kita cuba fokus perkara tersebut dan mewujudkan perpaduan, persefahaman dari sini. Selepas itu, kita fokus pada komuniti sahabat Cina dan Borneo. Saya masih ingat semasa berpindah dari kehidupan kampung ke bandar pada tahun 1999, kami sekeluarga menghadapi masalah kewangaan sehingga terpaksa makan bubur sahaja untuk satu tempoh masa. Pada masa itu jiran flat, seorang kakak Melayu yang saya panggil ‘Emak Daniel’, hehex sebab anak beliau bernama Daniel dan rapat dengan kami serta ‘Hema Aunty’ seorang aunty india yang selalu memberikan sayur, sardin, telur dan lain-lain kepada emak saya untuk dimasak diberikan kepada kami yang masih kecil masa itu sehingga keluarga kami stabil. Peristiwa tersebut terpahat dalam hati saya dan itu juga membuatkan saya selalu bersyukur atas nikmat diberi, berkongsi rezeki lebih dengan yang tidak mampu dan paling utama buat sesuatu untuk komuniti dan Negara.

Sebenarnya tidak cukup ruang ini, untuk saya berkongsi mengenai perjalanan hidup dan cabaran saya tempuhi dalam usia muda ini yang masih berterusan. Saya percaya ada hikmah di sebalik beberapa fasa perubahan dalam hidup ini, saya tidak menyalahkan sesiapa dan saya sentiasa berterima kasih kepada semua dari ibu bapa, rakan, orang sekeliling dan Tuhan atas pemberian pengalaman yang tidak ternilai ini yang menyediakan saya untuk hidup dalam apa-apa situasi. Saya serba sedikit dah pergi ke utara dan selatan, iaitu dah tempuhi dua jenis persekitaran yang berbeza, dari baik ke jahat kembali kepada baik, dan saya jadikan ia sebagai bekalan untuk terokai masa hadapan yang saya jangka akan lagi menarik. Tidak lupa juga dalam perjalanan ini, saya mendapat beberapa permata iaitu sahabat Melayu dan Tamil india serta dari luar negara yang sentiasa menyokong dan memahami usaha saya. Selain itu, dapat juga saya kenali siapa lawan, duri dalam daging dan talam dua muka 😅.

Jadi kesimpulanya, saya ingin jelaskan bahawa setiap penulisan yang saya kongsi adalah berdasarkan pengalaman, rujukan sumber ilmiah, rujukan dengan kawan saya di sini dan luar negara dan tidak ditulis dengan sewenang-wenangnya. Saya suka bercerita dan dengar cerita, jadi melalui pengumpulan dan perkongsian cerita-cerita ini, saya percaya cerita-cerita ini dapat serba sedikit memberi impak positif kepada pembaca, sahabat-sahabat lain. Saya akur bahawa bukan semua dibuat, ditulis adalah sempurna tetapi ada jalan caranya untuk memperbetulkan sesuatu kesalahan. Gunakan bahasa yang sopan dan berikan jawapan dengan fakta. Semestinya saya akan terima dengan hati terbuka dan memperbaiki diri saya kerana saya percaya kritikan serta pandangan perlu untuk hasil yang baik. Lagi jauh perjalanan saya, lagi banyak ingin dipelajari, diperbaiki dan dibuat.

Jika anda rasa ingin menyokong, berkerjasama atau ketahui lebih lanjut mengenai inisiatif perpaduan yang saya tengah usahakan, anda amat dialu-alukan hubungi saya. Simpan nombor ini sebagai rujukan 014-6470704 dan emel krishnakrisz12@gmail.com. Bila-bila masa sahaja profil facebook saya boleh hilang, jadi coretan-coretan saya akan saya simpan di laman web tamizharmedia.com di bawah kategori KKI untuk rujukan semua. Buat masa ini, saya dalam proses siapkan portfolio TEMPAT dan berjumpa dengan pelbagai pihak untuk mendapat lebihan input.

Selamat berkenalan semua. Terima kasih kerana membaca dan semoga dipermudahkan segala urusan kita semua. Saya juga memohon maaf jika apa-apa perkataan saya menyinggung perasaan sesiapa atau mana-mana pihak.

Krishna Krisz
Aktivis TEMPAT – Kordinator Portal Storiesoftm – Insan Biasa
26-06-2022

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.