Perkongsian pengalaman melawat Tamil Nadu, india

Salam Sejahtera kepada semua rakan-rakan. Akhirnya dapat juga saya kongsikan pengalaman melawat Tamil Nadu, india. Terlebih dahulu saya ingin meminta maaf kepada semua yang membaca kerana lambat kongsi hantaran (post). Bukan sengaja tetapi tidak dapat dielakan di mana beberapa perkara seperti kerja baru, persekitaran baru, manusia-manusia baru, tempat tinggal baru dan masalah peribadi melambatkan proses penulisan. Semua dah selesai sekarang dan boleh dikatakan saya akan konsisten dalam perkongsian artikel menyentuh pelbagai topik, isu sensitif dan variasi selepas ini. Jika ada kekurangan atau masalah tatabahasa, sila betulkan saya dan saya amat mengalu-alukan pandangan, kritikan anda. Tanpa lengahkan masa lagi, mari kita terus ke artikel.

Sepertimana saya katakan sebelum ini, perjalanan ini lah yang membuka minda fikiran saya dengan lebih luas dan menjadikan saya seorang sebagai seorang nasionalis daripada seorang yang patriotik. Anda akan faham kenapa saya katakanya di akhir artikel ini. Saya bahagikan artikel ini kepada 3 bahagian iaitu Pertama, bagaimana jadinya rancangan serta tujuan kami ke Tamil Nadu, Kedua, pemandangan serta situasi di sana, Ketiga, perbandingan antara masyarakat Tamil di sana dengan di sini serta iktibar boleh diambil.

BAHAGIAN PERTAMA

Cerita bermula pada akhir Disember 2018. Semasa berada di tempat kerja, terima satu panggilan telefon dari ayah,”Krishna, kalau pertengahan tahun depan boleh tak kamu ambil cuti selama seminggu dan sediakan duit dua ribu ?” Saya yang terpingga-pingga mendengar permintaan itu tanya balik ayah, “kenapa ayah nak saya ambil cuti seminggu dan perlu sediakan dua ribu pulak tu ?”, Lepas tu ayah beritahu “ingat tak dulu semasa kamu kecil, ayah pernah cerita yang kita ada nenek saudara dan kakak sulung saya di India (Tamil Nadu) ? Ya, dapat berita bahawa nenek saudara tengah sakit tenat, dan hajat terakhir nenek ialah nak lihat kita semua, cucu cicit dan serahkan surat wasiat tanah pusaka di sana tinggalan moyang kita yang telah berhijrah ke Tanah Melayu sejak lama. Jadi saya dan abang (pak cik) telah buat keputusan untuk lawat nenek saudara, tunaikan hajat terakhir beliau dan lakukan satu upacara sembahyang untuk moyang kita yang dipanggil ‘kula deivam valipadu’ (sejenis upacara sembahyang untuk moyang / pelindung generasi). Lagipun dah 40 tahun lebih sejak kali terakhir saya melawat kampung asal semasa kecil.” “jadi kamu pun ikutlah dan dapat juga kamu pengalaman baru dan jumpa saudara jauh di sana. Duit visa dan tiket ayah akan taja dan baki kamu uruskan tau. Jadi kita akan pergi sebagai satu rombongan dengan keluarga pak cik sekali ke sana. Maklumat lanjut kamu rujuk pakcik nanti ye” ujar ayah lagi.

Saya pula selepas mendengar kata-kata tersebut, memang teruja kerana pernah dengar ada saudara jauh di Tamil Nadu tapi tak sangka bakal bertemu mereka dan dapat naik kapal terbang untuk kali pertama pulak tu. Yaahoow 😁😅 Saya yang telah dilamun keterujaan sangat tu terus jumpa pak cik, mak cik, kakak saudara dan dapatkan segala maklumat dan senarai keperluan yang harus dibawa nanti. Selepas itu, mohon cuti panjang dari majikan dan sediakan duit perbelanjaan ke sana nanti.

Hari yang dinanti-nantikan pun tiba dan bersiap sedia kami di KLIA awal-awal pagi untuk penerbangan. Hati berdebar-debar sepanjang pengalaman kali pertama di Lapangan Terbang, menaiki Kapal Terbang, berterbang bersama-sama dan sehinggalah sampai di Lapangan Terbang Tamil Nadu di Thirucirapalli / Trichy. Fuuh, perasaan semasa dalam kapal terbang, mengharungi perjalanan selama lebih 3 jam itu memang luar biasa dan teruja sangat. Melihat awan-awan biru yang segah terapung di ruang uadara, di bawahnya kelihatan laut yang luas dan panorama yang amat cantik. Ada satu masa, jadi seram apabila kapal terbang bergoyang sedikit apabila mengharungi kawasan yang hujan lebat. Terbayang kejadian kapal terbang MH370 dan ia bermain-main dalam minda saya yang buatkan diri lebih gelisah.

Selepas seketika, berjaya lepas situasi tersebut dan boleh lihat dari cermin sisi yang kami dah hampir sampai ke Lapangan Terbang Trichy. Akhirnya berjaya mendarat dengan selamat dan fuhhh rasa lega dapat keluar dari kapal terbang menuju ke terminal keluar. Selesai proses pengesahan passport dan visa, terus kami keluar dari lapangan terbang di mana seorang pemandu pelancong bernama ‘En.Nyanam’ menunggu kami dengan kenderaan beliau. Kami mendapatkan perkhidmatan beliau melalui rekomendasi seorang saudara di sini yang pernah melawat Tamil Nadu, india.

Selepas jumpa dan letak beg masing-masing dalam kenderaan, terus kami meminta agar bawa ke restoran dekat untuk sarapan pagi. Agak jauh juga perjalanan dari lapangan terbang ke restoran dan kemudian ke tempat penginapan iaitu sebuah hotel berdekatan dengan kawasan kampung kami yang dipanggil ‘Sevalur’. Sebelum ke hotel, En.Nyanam membawa kami ke tempat sembahyang Kula Deivam / Moyang. Adalah satu tradisi bagi orang Tamil yang datang dari jauh untuk meminta restu, memberi penghormatan dahulu di tempat ini agar segala urusan berjalan dengan lancar. Sesudah sampai di hotel, terus kami check-in dan baring tidur sekejap di bilik masing-masing kerana letih dan juga cuaca panas terik.

Nota Tambahan : Tamil ialah bangsa / etnik, manakala India ialah kesatuan negara moden merangkumi pelbagai bahasa dan budaya yang mendapat kemerdekaan dari British. Hindu ialah agama majoriti di India. Bukan semua hindu ialah Tamil dan bukan semua Tamil ialah hindu. Ideologi extremis kumpulan hindutva RSS telah mengelirukan masyarakat bahawa Tamil berasal dari hindu dan Sanskrit ibu segala bahasa. Mangkuk !😆 Selatan India gelaran diberi untuk gabungan 4 negeri dravidian yang bahasa budaya berbeza tetapi berkongsi beberapa ciri iaitu Tamil Nadu, Kerala, Andhra Pradesh dan Karnataka. Sanskrit ialah bahasa kod untuk tujuan pemujaan dan bukan peradaban atau budaya. Ia telah dihasilkan dan bukanya lahir dari satu Tamadun.

BAHAGIAN KEDUA

Difahamkan oleh abang pemandu pelancong En.Nyanam, bahawa Tamil Nadu ini keluasan tanahnya lebih kurang sama dengan keluasan Semenanjung Malaysia. Jadi setiap perjalanan kita akan ambil masa dan kita kena bersiap sedia awal untuk ke sesuatu lokasi. Tambah lagi, kebanyakan kawasan di utara Tamil Nadu dibedil oleh taufan Gaja beberapa bulan lepas dan dalam proses pemulihan. Oleh kerana itu, cuaca memang akan panas dan tiada hujan.

Berbalik kepada cerita, kawasan yang kami singgah tu kawasan kampung jadi kurang kita akan lihat bangunan-bangunan atau kemudahan canggih. Kalau bandar kita perlu pergi ke Chennai yang suasananya seperti Kuala Lumpur. Jadi adalah pilihan dan citarasa kita nak ke mana. Kalau nak hayati suasana kampung, melihat monumen / tempat bersejarah dan berkaitan, pilih kampung dan kalau nak menghayati suasana hibrid (bandar + kampung) atau membeli-belah, bolehlah ke bandar-bandar.

Jadi hari pertama, tidak banyak aktiviti. Hanya berehat di dalam bilik hotel dan pada petang singgah melawat rumah nenek saudara dan kakak sulung ayah saya. Melihat persekitaran semasa perjalanan ke rumah nenek saudara mengingatkan kembali kenangan manis semasa kami sekeluarga tinggal di Kampung Loke Yew, Jalan Semarak berdekatan dengan PULAPOL pada akhir 90an sebelum berpindah ke Kuarters Kerajaan di bandar Bangsar. Akhirnya sampai rumah nenek, dan rombongan keluarga kami terpaksa turun kenderaan dan jalan kaki ke rumah kecil di tengah kampung kerana tiada jalan masuk untuk kenderaan. Sesudah sampai ke rumah, En.Nyanam ketuk pintu dan keluarlah nenek saudara yang kami teruja nak lihat itu. Sejurus nampak kami, nenek terus peluk semua, menitis air matanya membasahi pipi, dan terus memberi surat wasiat kepada pak cik, ayah saya. Nenek berkata ‘jagalah harta tanah kita dan segerakan urusan tukar milik tanah kerana ada seorang saudara di sini berhasrat nak jualnya / tukar kepada nama sendiri’. Nenek juga berkata beberapa plot tanah tani lain telah dijual oleh saudara tersebut dan yang tinggal sekarang ialah rumah dan beberapa plot tanah sekitarnya. Selepas berbual Panjang dengan nenek dan makan bersama-sama, kami pun minta izin untuk beredar kerana hari sudah malam. Sebelum beredar sempat kami memberikan buah tangan dan sedikit duit untuk kegunaan keluarga nenek. Pelan jumpa kakak sulung ayah tidak menjadi kerana dah malam dan terus kami balik tidur di hotel.

Hari kedua, seperti biasa kami bersiap sedia, bersarapan dan tunggu lah untuk En.Nyanam datang membawa kami. Untuk makluman, hotel yang kami menginap tu 3 bintang jadi segala kemudahan dan makanan sedia ada. Tidak banyak beza dari segi makanan di mana semua variasi boleh didapati di sini walaupun kawasan kampung termasuk masakan ‘goreng-goreng’ dan masakan cina. Terkejut saya apabila melihat menu dan juga apabila pesan makanan di gerai luar, seorang anne siap tanya nak makan nasi goreng ayam ke ? hahaha. Selain itu, Tamil Nadu juga mempunyai populasi besar tamil muslim atau lebih dikenali sebagai india muslim di Malaysia, jadi anda boleh lihat banyak gerai-gerai makanan halal. Briyani daging lembu pun terkenal dan boleh didapati di sini juga. Jadi berbalik kepada cerita, En.Nyanam pun dah sampai dengan jentera beliau dan beliau menyampaikan satu berita kurang menyenangkan. Beritanya ialah, kita tidak dapat bersiar-siar atau melawat tempat ikonik, bersejarah di luar daerah kerana perlu selesaikan urusan tukar hak milik surat wasiat ini secepat mungkin dalam 2 hari ini. Sebab lepas dua hari ini ada cuti umum dan hari minggu pulak. Kalau dah mula cuti nanti susah kita dan akan berlaku perubahan dalam pelan. Beliau tambah lagi bahawa bukan senang nak selesaikan proses ini sebab nama datuk saya di sini atau tercatat dalam surat wasiat ialah ‘Pichai’ tetapi dalam rekod Malaysia ialah ‘Ramasamy’. Beliau ceritakan lagi dengan lanjut sebab datuk saya menukar nama sejurus berhijrah ke Malaysia dari Tamil Nadu dan saya akan kongsikanya di bahagian 3 di bawah. En.Nyanam kemudian beritahu usah risau, saya kenal beberapa pegawai di Pejabat Tanah, saya akan cuba tolong selesaikan urusan ini untuk kamu tetapi sebelum itu kita perlu pergi ke pejabat ketua kampung kamu, periksa rekod lama penghijraan atau maklumat pengenalan identiti, dapatkan cap jari dua orang tua / saudara di kampung yang kenal datuk kamu untuk sahkan dua-dua nama itu ialah sebenarnya orang yang sama melalui dokumen sedia ada. Dah selesai semua proses dan dapatkan sijil pengesahan, barulah kita dapat tukar hak milik tanah pusaka ini dibahagi kepada ayah dan pak cik saya selaku waris dan akhir sekali akan dapat Geran Tanah. Dengar sahaja penjelasan En.Nyanam membuatkan kami, geng-geng muda iaitu saya, kakak dan adik saudara rasa letih. haha. Tetapi walau apa pun, misi utama harus diselesaikan jadi kami pun bergegas ke pejabat dan kampung. Petang dah dihabiskan untuk urusan ini dan malam pulak kami singgah rumah kakak sulung ayah / pak cik saya. Di sana, kami semua berbual dan berkongsi kisah masing-masing. Sejurus makan kami pun meminta izin dan balik ke hotel untuk rehat.

Hari Ketiga, seperti biasa dah bersedia dan En. Nyanam pun datang depan hotel. Diberitahu, urusan hari ini pulak masih mengenai pertukaran tanah pusaka tetapi akan habis awal jadi bolehlah semua pergi membeli-belah di pekan berdekatan dipanggil ‘Ponnamaravathi’, singgah beberapa kuil terkenal berdekatan dan akhir sekali melawat seorang lagi saudara jauh. Tidak pasti sama ada, muka kami dilekat dengan stiker ‘Dari Malaysia’ atau apa, di setiap tempat yang kami pergi / singgah di sekitar kawasan kampung, mesti ditegur sapa oleh orang tempatan di sana yang ajak makan atau bertanya khabar, hehex. Boleh dikatakan mereka amat peramah dan nampak biasa-biasa sahaja. Jadi urusan harian semua berjalan dengan lancar dan gembira dapat membeli belah, harga teramat murah dan barang berkualiti.

Hari Keempat, seperti biasa dan En.Nyanam beritahu urusan pertukaran dah selesai, dah hantar / serahkan semua dokumen berkaitan dan akan dapat Geran Tanah dalam beberapa minggu. En.Nyanam beritahu sejurus dah dapat geran, beliau akan tolong pos hantar ke Malaysia. Jadi rancangan hari ini ialah, kita akan ke satu Pesta Keagamaan ‘Thiruvilla’ dan melawat beberapa tempat terkenal di luar daerah seperti Kuil Madurai Meenakshi Amman dan Tanjai Periya Kovil di Tanjavur. Kali ini beliau dah beritahu semua rancangan untuk hari esok sehingga hari penerbangan balik Malaysia. Esok kami akan pergi ke satu tempat untuk melakukan upacara sembahyang Kula Dheivam yang bertujuan untuk memberi penghormatan serta berterima kasih kerana selesainya urusan pertukaran tanah pusaka. Selepas itu kita akan melawat tempat-tempat terkenal di sekitar daerah dan sehari sebelum penerbangan kita akan ke bandar Chennai yang terkenal. Kami pun tak sabar dan teruja dengar pelan-pelan seterusnya dari mulut En.Nyanam. Tetapi timbul satu lagi isu iaitu hotel. hehex. Sebenarnya kami tempah bilik hotel untuk 3 hari sahaja di sini kerana beranggapan akan bergerak dari satu tempat ke tampat lain dan oleh kerana itu kita akan tempah bilik di kawasan lain. Tidak sesekali sangka urusan tukar hak milik tanah akan ambil masa dan memberi kesan pada rancangan awal kami. Jadi kami pun tanya pendapat En.Nyananm sama ada tempah bilik untuk 3 hari lagi sini atau tempat lain ? En.Nyanam pula beritahu “kalau kamu semua tidak keberatan apa kata tinggal di rumah saya sahaja dengan syarat jangan berikan saya duit?”, “Walaupun tidak setaraf hotel 3 bintang, segala kemudahan asas serta privasi ada sebab rumah saya rumah lot 2 tingkat dan baru buat renovasi”, tambah lagi En.Nyanam. Kami terkejut pada awalnya kerana dengan senang, tanpa berfikir atau terima duit, En.Nyanan mempelawa kami untuk tinggal di rumahnya. Selepas berfikir mengenai rancangan dan melihat hati baik En.Nyanam, kami pun bersetuju dan ikut En.Nyanam ke rumahnya dengan barang-barang kami.

Sejurus sampai di rumah beliau, terpesona melihat persekitaran di sekeliling. Rumah yang cantik dan bersih. Tanaman seperti pokok bunga, buahan seperti delima, limau ditanam berderet, dan kawasan yang luas. Di seberang jalan pulak, terdapat sawah padi dan kandang lembu milik mereka. Kemudian, diperkenalkan dengan ibu bapa, adik-beradik, isteri dan anak beliau. Selepas itu, makan bersama keluarga baru dan berbual panjang. Melalui perbualan, baru kami ketahui bahawa sebenarnya keluarga en.Nyanam dengan kami sebenarnya ada pertalian saudara dan ia menambahkan lagi keterujaan. Tak disangka langsung orang yang menolong banyak kami di sini sebenarnya adalah saudara tanpa beliau atau kami sedar pada awalnya.

Hari kelima, telah mengenakan pakaian tradisional, mengambil sarapan istimewa iaitu idli, thosai dan nasi manis dimasak oleh ibu abang Nyanam (oleh kerana dah diketahui bahawa Nyanam ialah saudara, jadi saya akan gunakan perkataan abang untuk gelar beliau). Kemudian, kami pun bergerak menuju ke satu tempat iaitu Kuil Mahamariamman di hulu kampung untuk melakukan upacara sembahyang ‘Kula Dheivam’. Sesudah sampai, pertama melakukan ritual biasa sembahyang di dalam kuil dan kedua lakukan ibadat korban di luar perkarangan kuil. Mesti terkejut anda apabila baca ibadat korban, hehex. Sebenarnya ada pilihan di mana anda boleh memilih ayam atau kambing sebagai korban atau versi ‘vegetarian’ di mana kita memasak pongal dan menyediakan masakan sayur-sayuran untuk dipersembahkan kepada moyang. Macam kami tak biasa dengan korban haiwan yang dilakukan oleh sebahagian orang di sana atas beberapa faktor jadi untuk mudahkan urusan, kami pilih versi vegetarian sahaja. Jadi akhirnya dua misi utama kami ke sini iaitu menukar hakmilik tanah pusaka dan sembahyang ‘Kula Dheivam’ telahpun habis dan semua rasa lega, gembira. Jadi yang tinggal sekarang ialah melawat tempat-tempat bersejarah dan ke Chennai dengan kadar ‘superspeed’ kerana tinggal dua hari sahaja sebelum penerbangan balik ke tanah air Malaysia. Satu perkara ajaib / menarik telah berlaku pada petang iaitu kawasan sekitar kampung / daerah yang tiada hujan selama lebih 6 bulan akibat taufan Gaja, tiba-tiba menerima hujan lebat dan keluarga abang Nyanam dengan teruja berkata ‘nambaveh mudiyile paa’ (macam tidak boleh percaya) dan tambah lagi, ‘kami ini pembawa tuah’, terharu dengar, hehex.

Hari keenam dan ketujuh. Saya akan ringkaskan perjalanan ini dahulu dan kemudian akan kongsikan secara lanjut tempat-tempat menarik yang kami lawat di dalam satu post / hantaran berlainan untuk memudahkan pemahaman. Jadi kesimpulanya, dalam dua hari ini kami melawat banyak tempat-tempat bersejarah, kampung, bandar, artifak, buku-buku, dan monumen yang berusia ribuan tahun. Setiap satu mempunyai sejarah tersendiri dan menakjubkan juga fikir bagaimana orang dahulu hidup dan hasilkan suatu tamadun. Di samping itu, berpeluang jumpa pelbagai lapisan masyarakat dan hidup mereka. Boleh dikatakan di kampung, masyarakat lebih peramah, memberi keutamaan kepada kualiti hidup dan hampir kesemuanya saya jumpa termasuk wanita, semua jenis ‘fit’ tegap. Ia mungkin kerana majoriti berkerja di sektor pertanian (sama ada tanah sendiri atau lain) satu sektor yang memerlukan kekuatan fizikal dan makanan mereka semua berkhasiat kerana banyak ditanam sendiri. Bila masuk ke bandar, dah mula melihat orang-orang yang saiznya lebar dan dengan bahasa lembut dipanggil ‘chubby’. hehex. Orang bandar-bandar ini walaupun ramah tetapi kelihatan teragak-agak dan keadaan boleh digambarkan seperti KL. haha. Bab kebersihan, sepanjang pemerhatian saya, kampung mahupun bandar yang saya lawati, semua dijaga dengan bersih dan tidak lah seperti yang disebut atau digambarkan oleh segelintir orang Malaysia yang melawat negeri / kawasan utara India berkata najis, berak merata-rata, haha. Kawasan utara india / negeri utara (yang bollywood / geng hindi, senang cerita, hehex) itu memang, sebab pada pandangan saya di situ orangnya kekurangan kesedaran sivik dan di situlah berlakunya majoriti masalah antara kasta, antara agama, penindasan terhadap masyarakat beragama islam + kristian serta lain, keganasan terhadap wanita dan banyak lagi. Sebab itu ia semua menjadi kubu kuat Parti Pemerintah ekstremis iaitu BJP. Maaf, lari topik, jadi berbalik kepada cerita, saya dapat simpulkan keadaan di kampung-kampung Tamil Nadu keadaanya lebih kurang seperti Kelantan dan bandar-bandar seperti Selangor.

Satu masalah yang saya perhatikan di sana ialah, kekurangan air sehingga ramai terpaksa membuat / boring air / korek telaga untuk dapatkan air tanah. Macam kami tidak ada masalah air semasa tinggal di sana kerana abang Nyanam telah melanggan ‘Kaveri Water Supply’ iaitu perkhidmatan air berbayar untuk rumahnya. Tapi itulah, kesian juga tengok ada yang terpaksa beratur atau menunggu bekalan air dari kerajaan negeri yang lambat sampai ataupun sikit-sikit. Yang berada boleh melanggan air tetapi yang miskin atau tidak mampu tu bagaimana ? Itulah saya terfikir sekejap, Tamil Nadu antara 3 negeri tertinggi penyumbang utama kepada hasil kewangaan / keluaran dalam negeri kasar (GDP) negara India, mempunyai banyak syarikat-syarikat berprestasi tinggi dan terkenal sebagai destinasi utama pelancongan tetapi mereka tidak dapat menyediakan infrastruktur, bekalan air secukupnya untuk penduduk kampung. Di bandar ya memang ada tetapi bagaimana dengan kelangsungan hidup penduduk kampung yang memerlukan air untuk semua aktiviti asas. Masa itu rasa kesyukuran saya lahir di Tanah Melayu yang tidak pernah mengalami masalah air atau mengalami situasi tersebut, meningkat naik.

Hari terakhir, akhirnya hari tersebut sampai juga iaitu hari akhir perjalanan kami dan ya memang rasa sedikit sedih sebab begitu cepat masa berlalu dan tidak sempat kami menerokai penuh Tamil Nadu. Saya sangkakan ia hanya menjadi sebuah perjalanan biasa melawat kenalan, melancong dan ketahui asal moyang tetapi tidak sangka ia memberi satu pengertiaan serta talian baru. Kami sempat membeli pakaian dan hadiah untuk semua ahli keluarga abang Nyanam bagi menghargai jasa dan hati ikhlas mereka memberi layanan yang cukup baik kepada kami. Pada mulanya mereka (Ibu bapa abang Nyanam) tak nak terima sebab kata mereka sudah tentu kami membelanjakan jumlah wang yang besar untuk lawatan ini, jadi apakah keperluan membeli pakaian baru dan hadiah untuk mereka ? Tapi kami katakan, ‘usah risau, masih ada baki yang banyak. Hadiah serta pakaian baru ini adalah sebagai penghargaan kami untuk kamu dan jika kamu anggap kami sebagai keluarga kamu sila terima barangan ini dan anggap lah ia sebagai hadiah dari ahli keluarga’. Panjang lebar juga kami beritahu / jelaskan tujuan hadiah sebelum mereka terima pada akhirnya. haha. Berpeluk-pelukan, memberi kata-kata semangat, selamat tinggal antara satu sama lain dan tergenang air mata. Mengambil beg masing-masing, berjalan menuju ke kenderaan, melambai tangan kepada semua dan berkata akan datang lagi untuk cuti panjang dan kita akan terus berhubung dalam ‘whatsapp dan video call’. Dalam jip, abang Nyanam berkata, dia pun terkejut lihat pakaian dan hadiah yang disangka dibeli untuk kami sebenarnya untuk keluarga beliau dan beliau berkata dimarahi juga oleh ayahnya disebabkan ini. Saya cakap ‘paravalai anne, eppayache thaaneh, thaangikinge’ hehex. Lapangan terbang dah sampai, semua berjalan masuk ke dalam dan sempat juga saya memeluk abang Nyanam dan katakan, ‘jaga diri anne, akka, papa semua, kita akan terus berhubung antara satu sama lain dan saya terutamanya akan datang lagi sebab ada urusan belum selesai, saspens’, hehex.

Seminggu selepas kami balik ke Malaysia, dapat berita bahawa nenek saudara yang menjaga surat wasiat telah meninggal dunia. Terkejut kami mendengar berita tersebut dan saya berkata-kata dalam hati ‘betapa kuatnya azam, niat nenek ini yang nekad bertahan jaga harta pusaka dan serahkan surat wasiat ini kepada warisnya’.

BAHAGIAN KETIGA

Sebenarnya boleh dikatakan perjalanan ini yang mengubah minda saya, ‘reset’ balik arah yang saya harus pergi dan perkara yang perlu difokus untuk membuat perubahan. Sebelum itu, boleh dikatakan saya seorang yang tidak matang walaupun mempunyai pengalaman dalam bab sosial dan ilmu berpengetahuan. Kadang-kadang apa yang kita lihat, dengar dan rasai secara langsung lebih berkesan, membuat kita berfikir daripada apa yang kita baca.

Melalui abang Nyanam saya dapat ketahui serba sedikit mengenai moyang saya yang asalnya seorang petani berhijrah ke Tanah Malaya kerana tidak dapat tahan lagi penindasan yang dilakukan oleh golongan kasta tinggi yang sesama bangsa yang dihalalkan atas nama agama. Disisihkan dari kampung, dinafikan hak asas, dihina, tidak dibenarkan masuk ke dalam kuil, perlu menunduk ke bawah apabila lalu kawasan atau semasa bercakap dengan orang kasta tinggi dan banyak lagi antara penindasan berlaku.

Saya dapat bayangkan bagaimana sakitnya dan perit hidup orang-orang yang ditindas apabila mendengar kisah tersebut dan melihat kampung moyang yang masih serba kekurangan dan masih ada sentimen kekastaan yang kuat. Apabila sedar saya dari golongan yang ditindas dan kehidupan yang saya tengah menikmati sekarang adalah pengorbanan moyang saya, saya berasa amat bersyukur dilahirkan di Tanah Malaya yang subur ini. Tidak dapat bayangkan keadaan saya jika moyang saya tidak mengambil keputusan untuk berhijrah dan keluar dari kancah penindasan. Saya merasakan saya terhutang budi kepada Tanah ini, masyarakat Melayu yang menerima masuk orang luar dengan hati terbuka dan jadikan mereka sebagai ahli keluarga. Selain itu saya juga merasakan saya mempunyai dua tanggungjawab iaitu menabur jasa, melibatkan diri dalam perkara-perkara berkaitan keharmonian, kesejahteraan Negara dan melakukan kesedaran semampu saya boleh dalam komuniti Tamil. Apa-apa pun, kepentingan Negara harus diletakan dahulu berbanding kepentingan sendiri.

Apa yang saya dapati ialah terdapat beberapa persamaan dan perbezaan antara masyarakat Tamil di india dan Malaysia.

Semangat kasta yang tebal, hidup berpuak-puak, kekurangan kesedaran sejarah serta tanggungjawab terhadap bangsa dan jati diri yang lemah membantutkan perkembangan masyarakat Tamil sejagat. Walaupun ada ramai yang berjaya, kaya-raya dan berada dalam kedudukan yang tinggi namun disebabkan perbezaan kasta melalui agama, mentaliti, ideologi, dan sikap tidak ambil peduli menyebabkan kebanyakan mereka kekal dan pentingkan bulatan masing-masing. ideologi pemerintahan ‘Dravidian’ oleh Parti-parti utama di Tamil Nadu tidak memberi apa-apa pembaharuan atau perkembangan kepada bangsa Tamil tetapi memberi ruang kepada bangsa / etnik asing yang berhijrah (yang ini juga akan saya ceritakan dengan lanjut dalam post berasingan nanti) untuk memonopoli ekonomi dan budaya tempatan Tamil atas nama agama dan identiti ‘india’ sehingga mempertikaikan sejarah orang asal. Perkara sebegini tidak berlaku di mana-mana negeri jiran dan mereka mempunyai semangat bangsa yang tinggi walaupun berkongsi identiti ‘india’ dan ‘dravidian’. Penjajahan intelektual selama ribuan tahun oleh golongan Brahmin serta pemerintahan fizikal kuasa-kuasa asing selepas runtuhnya empayar Raja-raja Tamil juga boleh dikatakan / menjadi salah satu faktor lahirnya mentaliti sebegini oleh masyarakat di sana. Walaupun kekurangan jati diri Bangsa, masyarakat Tamil di Tamil Nadu masih mempunyai semangat dan sentimen yang tinggi terhadap Bahasa.

Jadi bayangkan kalau majoriti yang berhijrah ke Tanah Malaya semasa era pemerintahan British ialah dari Tamil Nadu, india, maka semestinya masalah dan mentaliti dibawa ke sini sama juga. Dalam kalangan masyarakat Tamil Malaysia, boleh dikatakan terdapat beberapa persamaan dengan perkara saya nyatakan di atas. Ada yang mungkin tidak dapat percaya atau katakan tidak, tetapi saya boleh buktikan dengan fakta dan penyelidikan saya buat sejak 2019. Antara persamaan ialah semestinya semangat kasta dan hidup berpuak-puak. Ya betul ! Persatuan dengan rasminya didaftarkan, pengurusan kuil hingga parti politik ikut hierarki kasta dan ia semuanya dilakukan dengan cara halus. Di luar kita boleh nampak seseorang sebagai pemimpin, influencer mahupun orang baik yang berjaya tetapi jauh di dalam hati dan kehidupan peribadi, mereka adalah seorang yang pentingkan darjat, kasta dan akan buat apa sahaja untuk jaga keistimewaan mereka. Satu lagi persamaan ialah parti politik dan pemimpin tempatan yang berjiwa ‘dravidian’. Selain itu, persamaan lain ialah, kekurangan kesedaran terhadap sejarah, tanggungjawab terhadap bangsa atau Negara, sikap tidak peduli, ketagihan alkohol dan lain-lain. Secara jujurnya saya perlu tulis sebuah buku jika hendak senaraikan atau ceritakan semua dengan lebih lanjut, hehex. Jadi untuk masa ini, saya akan cuba berikan pencerahan ringkas dahulu.

Perkara sebegini tidak berlaku dalam kalangan masyarakat Tamil Eelam iaitu (orang Tamil yang tinggal di utara Sri Lanka. Eelam atau illangai ialah nama lama Sri Lanka. Ceylon nama diberikan British) Mereka mempunyai kesedaran serta disiplin, jati diri yang tinggi. Sebab itu majoriti yang berhijrah sebagai pelarian ke negara-negara eropah semasa era perang antara 1980 – 2009, mampu mewujudkan rangkaian diaspora Tamil eelam yang kuat di mana mereka dikitiraf sendiri oleh Kerajaan negara Eropah atas sumbangan jasa mereka terhadap pembangunan tempatan. Tanpa mengharapkan apa-apa bantuan atau keistimewaan dari Kerajaan, mereka hanya berusaha dengan kuat, ikhlas jujur dan setia kepada tanah diduduki. Akhirnya, diberi taraf kerakyatan warganegara dan menjadi antara golongan minoriti paling berjaya. Bagaimana mereka mampu menjadi contoh yang baik berjaya ? Kenapa mereka dan bukanya Tamil india yang lagi besar populasinya ? Masyarakat Tamil india pulak hanya berbangga dengan sejarah lama tanpa apa-tindakan untuk menjaga mahupun menurunkan sejarah mereka ke generasi seterusnya.

Saya mempunyai kawan rapat Tamil Eelam di negara eropah Switzerland dan Kanada, jadi saya dapat lihat dengan mata sendiri perbezaan yang ketara antara dua jenis Tamil ini. Orang Tamil eelam ini selalunya kurang bergaul, tak suka apabila kamu sebut India, baik memperkenalkan diri sebagai Tamil je, hehex. Di Malaysia kita ada banyak Tamil Ceylon (golongan ini kebanyakan kaya-raya dan mendapat didikan barat, berhijrah ke Tanah Malaya sebagai pegawai dan professional semasa era penjajahan British. Mereka mempunyai semangat hidup berpuak yang tinggi juga. Mereka anggap Tamil India dan Tamil Eelam tidak sebaris dengan status mereka walaupun asal dari Sri Lanka dan berkongsi bahasa sama, Hahaha. Begitulah pecahnya satu bangsa atas pelbagai faktor). Satu hari nanti saya akan kongsikan dengan lanjut perbezaan Tamil India – Tamil Eelam – Tamil Ceylon serta sebab peperangan di Sri Lanka / ilangai / Ceylon antara orang Tamil dengan Sinhalese.

Kesimpulan secara keseluruhanya ialah, sejarah bangsa Tamil ini amat kompleks dan kontroversi. Suatu Tamadun yang setaraf dengan Tamadun Indus malah penemuan tempat arkeologi di Tamil Nadu serta penyelidikan baru memberi petunjuk bahawa terdapat banyak persamaan antara dua-dua ini, menguatkan kenyataan bahawa Tamadun Tamil ialah sambungan Tamadun Indus. Satu tamadun yang kaya dengan budaya tradisi unik, karya-karya kesusateraan dan menjadi salah satu tempat penting penyebaran agama, namun akibat sifat keterbukaan tinggi, telah runtuh tamadun mereka dijarah bangsa dan ideologi asing. Dalam hantaran masa depan, saya akan kongsikan sumbangan Tamadun Tamil kepada pembangunan negara-negara lain sedikit demi sedikit. Tahukah anda, seorang Puteri dari Empayar Tamil Pandya telah berlayar ke negara Korea Selatan 2000 tahun dahulu bersama bala tentera dan berkahwin dengan Raja tempatan ? Hasil perkahwinan tersebut telah berlakunya asimilasi budaya, di mana Penyelidik moden seperti Jeong Sun Seo dan Kim Jong il berkata, terdapat persamaan antara bahasa dan budaya Korea-Tamil. Nanti saya akan kongsikan bahan penyelidikan mereka.

Walaupun terdapat beberapa masalah seperti kasta, krisis identiti, fahaman ideologi berbeza dan lain-lain dalam masyarakat Tamil, tidak bermakna mereka ini pembawa masalah. Orang Tamil ini terkenal dengan sifat kejujuran, keberanian dan keterbukaan ditambah dengan kerja kuat. Sebab itulah mereka menjadi pilihan British untuk dijadikan buruh di ladang-ladang getah, kerja-kerja pembersihan hutan di kawasan jajahan mereka di serata dunia. Di Tanah Malaya pun, orang Tamil mempunyai sejarah perdagangan dan budaya yang lama dengan orang Melayu. Cuma kita tidak diberi pencerahan mengenai perkara-perkara tersebut. Ada juga sumbangan orang Tamil dalam pembangunan negara Malaysia dan ramai berjasa, berkorban dalam mempertahankan Kedaulatan Negara Tanah Melayu.

Tapi semakin kita menuju ke era moden, negara membangun dan politik memecahkan kita, sejarah makin dilupakan dan ia menimbulkan masalah-masalah baru. Saya merasakan masyarakat Tamil di Malaysia harus belajar dari sejarah, melihat keadaan terkini di Tamil Nadu India, fahami perbezaan antara bangsa-bahasa-agama, bersyukur atas hidup diberi, daripada selalu mengadu apa kata cari jalan penyelesaian dan gunakan sumber sedia ada, fikirkan cara bagaimana hendak kekal relevan dalam arus politik negara dan perkara-perkara berkaitan yang membantu pembangunan komuniti dan negara. Masyarakat Tamil harus lebih fahami dan terima Melayu dan Masyarakat Melayu pun harus lebih fahami perbezaan Tamil dan India, mendekati sesama sendiri dan dari itulah lahirnya perpaduan semangat setia kawan. Banyak kita boleh belajar dan ambil iktibar dari kedua-dua tamadun ini iaitu Tamadun Melayu dan Tamil. Kita belajar dan memperbaiki diri dari sejarah.

Terima Kasih kerana membaca. Jumpa lagi dalam artikel seterusnya. Penulisan di atas bukan berdasarkan pengalaman atau pandangan saya semata-mata tetapi berdasarkan sumber fakta yang sahih juga.

Krishna Kumar Illangovan

-Aktivis TEMPAT-

2 comments

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.