Ulasan isu korban hari raya haji dan isu ‘crackhouse comedy club KL’ serta pemilik bersamanya iaitu Rizal Van Geyzel

Salam sejahtera kepada semua sahabat-sahabat dan berikut adalah ulasan penuh menyentuh dua perkara yang saya kongsikan di hantaran sebelum ini iaitu pertama mengenai isu korban hari raya haji dan kedua ialah mengenai ‘crackhouse comedy club KL serta pemilik bersamanya iaitu Rizal Van Geyzel’. Jadi selepas ini jika timbul isu-isu berkaitan, kita boleh rujuk je artikel ini dan berikan kepada yang tak faham 😀🙌🏼🤝

Jadi saya ulang balik isunya sekali lagi untuk segarkan ingatan kita iaitu beberapa kawan india tamil dan cina saya ‘kecil hati’ dengan hantaran tempoh hari mengenai ucapan hari raya aidiladha di mana di dalamnya saya nyatakan yang saya makan daging dan berikan sedikit penjelasan di bahagian komen. Kawan ini siap tanya “Krishna, kamu tak kesian ke tengok lembu-lembu disembelih sebegitu, darah mengalir, lembu tu menangis dan kelihatan dibuli. Nak juga korban ke ?, nampak kejam”. Kemudian beliau kata dengan nada kecewa “Kenapa uh kamu pergi terjemahkan video Rizal Van Geyzel membuat pertunjukan dalam bahasa Tamil menyindir Melayu dan pergi share itu dengan beberapa pihak sehingga viral? Kamu ini lebih ‘pro Melayu & Islam’ berbanding komuniti sendiri kita Krishna!”.

Kedengaran itu saya tergelak dan katakan “deeyh-deeyh relakah irungada, feel avathinge, soldren (korang bawa bertenang, jangan emosi sangat, saya jelaskan tu). Saya tambah lagi “selama ini saya ingatkan kamu semua faham apa yang saya tulis dan kongsi dengan kamu semua tapi rupa-rupanya tak jelas kamu dan mengiyakan sahaja apa yang saya buat sebab nak jaga hati, masalah tu. Saya pun dulu macam kamu juga tak jelas dan tiada orang nak kongsi, jadi saya kaji, bergaul dengan pelbagai orang dari pelbagai latar belakang dan cari sendiri jawapan untuk semua. Takpa hari ini kita duduk dan bincang semua, kasi settle!”.

Saya bermula dengan isu pertama iaitu bab korban lembu hari raya haji. Sebelum itu saya tanya, ‘ada tak sesiapa di sini vegetarian ? langsung tak makan apa-apa daging atau produk tenusu ?’ sila angkat tangan. Tiada sesiapa angkat dan saya teruskan dengan penjelasan saya. Mengikut pemahaman saya tujuan ibadah korban dilakukan oleh sahabat-sahabat muslim ialah atas dua sebab iaitu satu ia berkait dengan kisah ayah Nabi Ibrahim dan anaknya Nabi Ismail yang terkandung dalam kitab suci Al-Quran. “Takpa bab ini kamu ambil masa dan perlu baca fahami sendiri” saya katakan kepada kawan, jadi saya teruskan dengan sebab kedua. Sebab kedua korban dilakukan ialah ia sebagai tanda bersyukur dan berkongsi rezeki, sedekahkan kepada golongan fakir dan miskin, bukan untuk kepentingan sendiri, sembelih potong suka-suka atau masak sendiri. Selain itu, melalui ibadah ini, ia juga mengeratkan perpaduan sesama mereka umat Islam. “Jadi ibadah korban yang dilakukan setahun sekali ini amat bermakna untuk saudara-saudara Melayu Islam kita di Malaysia”, wahai sahabat-sahabatku, kata saya kepada rakan-rakan saya yang mendengar. Jangan kita bersikap hipokrit samakan korban itu dengan sesuatu yang zalim atau kejam kerana nyawa itu sama.

Kalau korban itu dilihat sebagai sesuatu yang zalim, saya sarankan yang berkata-kata sedemikian sila hentikan juga pengambilan ayam, kambing, ikan, telur serta lain-lain yang berkaitan dalam pemakanan harian anda. Kesemua ini mengharungi proses yang ‘zalim’ sebelum dihidangkan sedap atas pinggan anda. Hijrah terus kepada kategori ‘vegan’, tetapi anda harus faham bukan semua boleh bertukar terus atau kekal lama dalam gaya hidup ‘vegan’ kerana badan manusia ini berfungsi dengan efisien melalui pengambilan makanan berasaskan daging dan sayuran yang seimbang. Jadi berbalik kepada topik, semua nyawa adalah sama dan tiada yang rendah atau tinggi statusnya.

“Lepas itu kenapa lembu ini dibuli semasa disembelih ? Bagaimana kami nak lihat atau lalu di kawasan yang penuh darah sebab lembu ini dianggap suci dan diibaratkan sebagai ibu dalam ajaran Hindu?” tanya seorang kawan. Saya jawab “bab ini kita kena berfikiran terbuka, rasional dan logik daripada beremosi”. Kawan, kamu perlu faham bahawa populasi masyarakat Melayu ini besar, bukan semua ikut rentak atau prosedur yang sama jadi di sesetengah tempat mungkin berlaku kejadian yang anda sebut tetapi tahu tak, terdapat peraturan yang khusus dalam ajaran Islam untuk jalankan ibadah korban seperti lokasi korban yang sesuai berdekatan surau atau masjid dan bukan di merata-rata tempat, cara / teknik nak menyembelih agar haiwan korban tak terseksa dan paling penting haiwan korban ini dilayan dengan hormat. Sepatutnya semasa penyembelihan lembu, proses itu perlu dihalang daripada dilihat oleh lembu-lembu lain, apabila lembu lain melihat kawan sekumpulan disembelih, itu yang jadinya lembu menangis atau mengamuk lari. Bukan lembu sahaja, ia termasuk untuk semua haiwan sekali manusia. Saya pernah lihat ayam dan kambing menangis. Simpati juga kadang-kadang melihat haiwan menunjukkan emosi di saat ingin disembelih tetapi tiada pilihan terpaksa diteruskan atas kelangsungan hidup dan itulah kitaran hidup.

Tak perlu melihat mereka sebagai kejam atau tidak berperikemanusiaan sebab apa yang mereka lakukan adalah satu ibadah, suruhan yang telah dinyatakan dalam kitab suci Al-Quran mereka. Agama Islam agama Persekutuan dan orang Melayu ialah orang asal tanah jadi suka atau tidak, kita mesti menghormati, memahami tujuan sahabat-sahabat kita yang melakukan ibadah korban ini yang datang sekali setahun. Kalau anda rasa tidak selesa juga, boleh je jangan lalu kawasan berlaku ibadah korban atau senang cerita pergi lah anda bersiar-siar ke luar bersama keluarga atau kawan. Satu perkara lagi, jika kamu lihat kejadian atau video di mana haiwan korban dilayan dengan buruk atau dibuli sengaja, silakan hantar ia kepada saya dan jangan risau saya akan ulas perkara tersebut dan dapatkan pandangan rakan-rakan Melayu saya.

Selepas itu kawan saya kata “Okay Krishna, poin-poin / jawapan kamu kedengaran seperti masuk akal dan kami perlukan masa untuk hadam tetapi bagaimana dengan imej tinggi yang kami letak pada lembu dalam ajaran hindu ? Daging tidak boleh dimakan sebab ia dianggap suci, diibaratkan sebagai ibu dan dilambangkan sebagai jelmaan dewa-dewi. Kamu bukan hindu ke ?”. Saya jawab “nalla kelvi macha (soalan yang bagus macha), selama kamu kenal saya, pernah tak saya burukan ajaran hindu di depan kamu atau bila-bila ajak kamu makan daging lembu ?”. “Tidak !!!” kata kawan-kawan saya. “Tengok, walaupun saya tidak ikuti ajaran itu lagi, makan daging, saya masih hormat kepercayaan kamu semua!”. Yang saya buat ialah hanya bertanya soalan dan mempertikaikan beberapa perkara dalam ajaran tersebut yang saya rasa bertentangan dengan logik dan nilai kemanusiaan. Saya ikut jalan saya tanpa memberi masalah kepada sesiapa. Saya bersuara pun apabila segelintir memberi ceramah panjang, bermegah katakan tahu segala pasal agama-bangsa dan akhir sekali menasihati kita apa yang perlu dimakan dan tidak. Untuk pengetahuan kamu, dalam sejarah orang Tamil, lembu diletakan di tempat yang tinggi, dihargai dan dihormati sebab jasanya kepada kehidupan seharian masyarakat dulu yang berasaskan pertanian tetapi harus faham tidak ada apa-apa rekod atau sejarah katakan ia tidak dimakan oleh masyarakat Tamil. Dalam Tamadun Indus iaitu antara salah satu tamadun tertua dan mempunyai teori atau persamaan dengan asal usul Tamil, baru-baru ini ditemukan dengan bukti arkeologi bahawa mereka memakan daging lembu dan kerbau. Balang-balang serta serpihan tulang lembu dan banyak perkara berkaitan telah ditemui oleh penyelidik. Penemuan ini sekaligus membuktikan bahawa telah ada budaya serta tamadun yang unik melangkaui zaman vedic iaitu tempoh masa yang dikenal sebagai pengenalan agama hindu veda-veda oleh Brahmin. Sepertimana kita tahu Brahmin ialah pengaruh dan orang yang bukan asal tanah besar benua india. Jadi kemasukan serta ajaran mereka yang memanipulasi kepercayaan orang asal telah memberi impak yang besar. Cerita-cerita purana, sistem kasta (divide & rule) diperkenalkan dan lembu dijadikan sebagai Tuhan sebab mereka tahu ia berkait dengan sentimen orang Tamil. Kamu tak tak satu acara / sukan tradisional yang dipanggil ‘Sallikattu / Jallikattu’ masih diamalkan atau dianjurkan di Tamil Nadu sehingga sekarang. Anda boleh lihatnya semasa pesta menuai Ponggal yang lagi meriah dari perayaan Deepavali. Jallikattu ialah satu acara untuk uji keberanian seorang lelaki di mana dia harus tahan atau pegang bahu lembu semasa ia sedang mengamuk / lari di padang untuk satu tempoh masa. Yang menariknya di seluruh India (antara semua negeri dan pelbagai bangsa) hanya orang Tamil serta di Tamil Nadu sahaja mereka amalkan atau anjurkan sukan tradisional ini dari turun-temurun sejak ribuan tahun lepas. Yang lagi menariknya ialah satu cop mohor ditemui di Tamadun Indus mengambarkan lembu melambung beberapa orang ke atas dan ia ialah salah satu gambaran di jallikatu. Bukan ini sahaja banyak penemuan mengaitkan atau memberi teori bahawa Tamadun Tamil baru di Selatan India ialah sambungan atau serpihan dari Tamadun Indus. Bab ini kontroversi dan rumit sedikit kenapa penyelidikan lanjut tidak dilakukan untuk mengukuhkan teori ini sebab Kerajaan India yang tekankan semangat ‘Kehinduan’ atau membangakan ‘Zaman Vedic’. Lagipun masyarakat Tamil di sana pun dah dipengaruhi oleh ideologi ‘dravidian’ jadi mereka tak serius dalam bab memperkasakan sejarah mereka. Fuuh, terpesong jauh ini, haha, takpa perkara ini saya ulaskan dengan lanjut pada sesi lain. Jadi sebab saya kongsikan perkara ini ialah untuk ketengahkan pendapat saya bahawa cerita ‘lembu tidak boleh dimakan atau diibaratkan sebagai ibu / tuhan / suci’ ialah satu agenda diwujudkan oleh golongan Brahmin. Jangan pandang rendah Brahmin-brahmin aryan ini ye sebab mereka ini saudara jauh dan mempunyai kaitan dengan bangsa Yahudi. Kita sedia maklum, betapa pandainya dan tipu helah mereka (Yahudi) boleh buat. Pernah tak terfikir kamu yang kenapa orang Tamil atau ‘dravidian’ ini semuanya berkulit gelap dan fizikal lain tetapi Brahmin-brahmin ini semuanya putih cerah ? hehex. Fikirkanlah.

Jadi saya ringkaskan cerita sekali lagi, cukup setakat ulasan saya mengenai sejarah dan saya pun tidak ingin sentuh sangat bab agama hindu sebab kamu tahu apa yang betul atau tidak dalam agama kamu jadi saya biarkan di sini dan hormat kepercayaan kamu. Jika ada persoalan atau ingin berbincang lanjut kita atur pada hari yang lain. Saya kenal beberapa professor sejarah dan penyelidik di Tamil Nadu jadi kita rujuk beliau juga nanti. Jadi kesimpulanya ialah okay kamu percaya lah apa yang kamu suka dan anggap lembu suci tetapi jangan halang yang lain, kecam atau tekankan kepercayaan kamu terhadap orang lain dengan paksa. Sebelum komen atau kecam yang lain pastikan diri sendiri betul dan jika kamu rasakan ada sesuatu yang tidak kena atau perlu diperbetulkan marilah kita berdiskusi dengan cara matang dan profesional.

Jangan lupa cari jawapan untuk persoalan-soalan ini juga iaitu kenapa India menjadi antara 5 negara utama pengeksport daging lembu ? Kenapa kandungan veda-vedas atau terjemahan tamil tidak diajar kepada penganut / umum oleh sami-sami di kuil ? Kenapa sistem kasta masih diamalkan oleh sebilangan besar masyarakat dan sehingga sekarang tidak ada satu tindakan atau usaha diambil untuk hapuskan sistem kasta ini yang menjarakkan manusia ? Kenapa di Kuil ‘Madurai Veeran’, ‘Munesswaran’ dan ‘Ayyanar’ di Malaysia mahupun Tamil Nadu, dilakukan korban kambing semasa perayaan tahunan ?

“Saya rasa kamu tahu yang saya ini satu ketika pada awal usia remaja, paling hindu serta paling warak dari kamu semua dari membuat pooja, menyertai pertandingan keagamaan, malah pernah memenangi tempat pertama, menghafal-membaca mantera serta upanishad dan saya masih ingat sebahagian tersebut sehingga sekarang tau!”, tapi selepas itu saya melalui beberapa fasa dalam hidup. Dalam fasa tersebut pelbagai soalan timbul bab kerohanian serta agama, tiada jawapan dapat diberi oleh yang pakar-pakar hindu di sekeliling saya dan saya rasakan ada sesuatu yang tidak seimbang. Jadi saya buat keputusan untuk tidak ikuti ajaran tersebut dan saya mulakan pencarian kerohanian saya. Saya pernah ikuti kelas pengenalan Bible di Gereja Jalan Kuchai Lama, kelas asas’Dharmavinaya’ di Tokong Vihara Brickfields. Selain itu saya juga lakukan kajian sejarah terhadap kepercayaan orang Tamil yang paling awal sebelum hindu yang dipanggil ‘aasevagam’. Dalam proses ini juga saya mula mengkaji dan mengenal agama Islam dengan dekat sebab ramai kawan-kawan Melayu dan tertarik dengan beberapa ciri. Banyak, banyak dan saya kongsikan semua ini sebab ingin tunjukkan bahawa saya ini percaya pada ‘Tuhan’ yang satu tetapi yang mana satu ? hehex. Pencarian masih berjalan dan saya masih dalam proses pembelajaran. Banyak ingin diterokai dipelajari.

Kawan saya membalas “woaaah, apa yang kamu katakan semua kedengaran baru, logik dan antara nak percaya atau tidak. Takpa kami akan cari jawapan untuk soalan-soalan kau Krishna dan okay lah sekarang kami serba sedikit dah jelas beberapa perkara. Jadi untuk lembu kamu berikan penjelasan ini, kalau semua nyawa sama, kenapa muslim tak makan babi ?”. Saya katakan “dah agak dah kamu akan tanya soalan ini, sebenarnya memang semua nyawa dan hidupan sama tetapi ada satu bab yang kita panggil ‘kebersihan’ serta ‘kesihatan’ macha, babi memang seekor haiwan yang normal dan ciptaan Tuhan, tidak bersalah tetapi ia makan benda-benda kotor dan akibat itu dagingnya tercemar, jadi apabila kita makan daging tercemar, ia boleh membawa kesan buruk kepada kesihatan. Dalam Kitab Bible (Injil) juga disebut perkara tersebut mengenai daging babi dan Sains pun katakan begitu bukan saya ye”. “Owwh macam tu kah ?, okay-okay noted dan kalau boleh kita pergi ke perkara kedua dengan cepat sebab masa tak cukup ini dan saya ada pelan nanti” kata kawan saya.

Jadi saya jelaskan perkara kedua. Kamu semua tanya “Kenapa uh kau pergi terjemahkan video Rizal Van Geyzel membuat pertunjukan dalam bahasa Tamil menyindir Melayu dan pergi share itu dengan beberapa pihak sehingga viral? Kamu ini lebih ‘pro Melayu & Islam’ berbanding komuniti sendiri kita Krishna!”. Sebenarnya saya rasa apa yang Rizal buat itu satu tindakan yang memprovok, menjarakkan lagi hubungan antara kaum dan memandang rendah sesuatu bangsa walaupun beliau sendiri mengakui dirinya seorang muslim serta ada campuran darah Melayu-Cina-Belanda-Sri Lanka. Ini ialah Malaysia dan bukanya Amerika Syarikat untuk sentuh atau buat jenaka mengenai perkara-perkara sensitif. Di Malaysia kita ada pelbagai kaum dan bangsa jadi adalah tanggungjawab kita untuk menjaga sensitiviti dan tunjukkan contoh yang baik. Terdapat perbezaan antara komedi dan sensitiviti agama, bangsa. Cuba kamu bayangkan apa jadi kalau seorang india sendiri atau bangsa lain membuat jenaka menyindir, rendahkan orang india dalam sebuah kelab di hadapan penonton bangsa lain ? hehex. Dah terabur dah meja kerusi dalam kelab itu. Kenapa Rizal perlu membuat persembahan dalam bahasa Tamil menyentuh bab kuota, katakan suka perli Melayu serta rendahkan mereka di hadapan penonton india ? Kenapa beliau tak buat persembahan tersebut di dalam bahasa melayu atau kata sebegini di hadapan penonton melayu ? Tengok !, jadi itulah, pemikiran terbuka atau kelakuan seperti begini mungkin sesuai di luar negara tapi bukan di sini. Masalahnya bukan sahaja dengan Rizal tetapi segelintir rakyat Malaysia yang berfikiran liberal, acah-acah mat salleh yang ingat kita boleh buat apa sahaja sesuka hati. Golongan ini hanya akan berborak, kutuk, merungut mengenai isu-isu dalam negara, merendahkan imej Negara, bangsa tetapi tanya mereka apa usaha atau tindakan mereka lakukan untuk memperbaiki keadaan atau isu tersebut ? Apa usaha mereka buat dalam memupuk perpaduan atau jati diri negara ? Jadi apabila saya lihat video-video Rizal yang senangnya menyentuh perkara-perkara sensitif atas alasan komedi berfikiran terbuka, saya rasa ia satu perbuatan yang tidak betul dan saya harus melakukan tanggungjawab saya sebagai rakyat Malaysia yang berfikiran rasional. Jadi saya terjemahkan video tersebut dan terlebih dahulu meminta pandangan rakan-rakan Melayu dan Tamil india saya sebelum hantar kepada beberapa pihak untuk viralkanya. Saya ada satu persoalan untuk kamu (korang) sahabat. Rizal menyentuh bab kuota dan memberi bayangan bahawa kaum India ditindas, dinafikan hak dan ia salah pihak lain. Saya tanya kepada kamu dan penonton india yang bersorak tepuk tangan mendengar kata-kata tersebut dari Rizal itu, dengan jujur jawab, kalau kita ditindas bagaimana kita masih ada dan hidup sejahtera di sini ? kamu rasa dalam komuniti india sendiri tiada masalah atau semua sempurna sangat ke sehingga setiap kali masalah / isu timbul perlu menuding jari ke arah pihak lain ? Tiada jawapan dari kawan. Saya katakan “beginilah,’umpama kuman di seberang lautan nampak, gajah di depan mata tak nampak’, kita terutama kebanyakan orang Tamil yang merupakan etnik majoriti dalam kaum minoriti India ini dah biasa memberi alasan untuk setiap perkara, mempunyai sikap tidak peduli, bermegah berkata-kata dengan kehebatan pencapaian sejarah lama sahaja, semangat bangsa lemah kerana dah biasa hidup berpuak-puak ikut kasta, status dan ideologi sendiri, mempunyai krisis identiti dan kurang kesedaran mengenai perbezaan bahasa-bangsa-agama dan juga kurang kesedaran mengenai sejarah asal-usul, tiada rasa bertanggungjawab terhadap masalah di dalam bangsa mahupun pembangunan walaupun berada di status yang tinggi dan banyak lagi saya boleh senaraikanya. Beberapa pemimpin bangsa sendiri ambil kesempatan dan seperti tiada hala tuju dalam mencari solusi untuk masalah sedia ada. Tapi saya lihat etnik mahupun pemimpin lain dalam kaum india selepas Tamil iaitu orang Telugu, Malayalee mempunyai kesedaran yang tinggi serta pemahaman yang jelas mengenai bangsa dan negara. Mereka semakin maju dan sistematik dengan pengurusan hal ehwal mereka sendiri. Satu contoh yang baik dan saya boleh katakan kaum india di Malaysia hanya akan maju, relevan dalam politik apabila wujudnya kesedaran dan persefahaman antara etnik-etnik ini. Banyak lagi dan saya jelaskan pada sesi perjumpaan nanti”.

Lepas itu kawan tanya lagi “okay faham tetapi satu lagi soalan. Kenapa tiada tindakan terhadap orang lain yang gunakan perkataan ‘Keling’ atau ‘Pariah’ ? “Sebenarnya untuk isu ini pulak kita peru fikir berdasarkan fakta sejarah jangan terus emosi. Ada beberapa teori, keling ini merujuk kepada pedagang dari benua ‘Kalinga’ yang tercatat dalam rekod manuskrip Melayu dan rekod beberapa negara lain seperti Indonesia, Cambodia dan Filipina. Pada masa dulu mana ada nama India kan ? jadi mereka dah biasa rujuk benua tersebut dengan perkataan keling / kalinga. Kedua, ia merujuk kepada saudara india muslim yang datang dari belah sana, sebab itu kita ada satu masjid bernama ‘Masjid Kapitan Keling di Pulau Pinang. Kalau perkataan itu merujuk atau memberi maksud yang buruk, semestinya dah lama Masjid ini ditukar nama. Perkataan Keling yang asalnya mempunyai beberapa variasi seperti ‘clings, klingers menurut rekod British dan Kling menurut rekod Portugis’ juga digunakan untuk merujuk komuniti dari kawasan selatan india yang menetap di Melaka dulu. Tetapi itulah, politik dan kekurangan kesedaran telah jadikan ia sebagai perkataan ‘taboo’ / pantang larang pulak. Jadi sahabat, saya tanya kamu kenapa kamu perlu ‘triggered’ atau rasa hina sedangkan perkataan itu tidak merujuk kamu atau huraikan diri kamu ? Kita ialah Tamil dan kita sarankan kawan-kawan bangsa lain kita rujuk kita spesifik dengan perkataan tersebut bukanya india. India tu nama negara yang pelbagai bangasa dan budaya. Bab pariah pulak lagi jauh sejarahnya dan panjang ceritanya. Takpa saya ringkaskan, kata atau etimologi nama ‘pariah’ ialah ‘varaiyar’ yang bermaksud suku kaum tamil yang hidup di kawasan lereng bukit lakukan kegiatan tani serta kegiatan berasaskan lembu. Mengikut rekod kesusteraan Tamil kuno, varaiyar atau yang kemudian sebutanya berubah jadi ‘paraiyar’ adalah antara suku kaum Tamil yang paling tua dan asli. Banyak pendeta-pendeta, golongan intelektual awal Tamil juga datang dari suku kaum ini dan yang paling terkenal ialah ‘Thiruvalluvar dengan karya Thirukural’ beliau yang merupakan antara karya falsafah tamil menyentuh pelbagai bab kehidupan yang juga paling banyak diterjemahkan dalam pelbagai bahasa. Tapi selepas kemasukan bangsa luar iaitu Brahmin Aryan pulak, mereka telah ambil alih tugasan / portfolio pribumi ini dan memanipulasi ikut kepentingan mereka. Dari itulah kasta diperkasakan dan suku kaum ‘Varaiyar / Paraiyar’ telah dijatuhkan / diletakan di bawah sekali atas alasan mereka makan daging lembu, dalam susunan piramid kasta (ia bukan proses yang berlaku dalam satu dua hari tetapi proses yang memakan masa ribuan tahun). Jadi dalam tempoh awal penjajahan British, semasa mereka mengumpul rekod, manuskrip dan maklumat, mereka telah merujuk golongan Brahmin pulak yang duduk di atas sekali struktur sosial. Brahmin terangkan kepada British mengenai ‘Paraiyar’ dan katakan mereka ini kasta bawah, tidak boleh disentuh kerana kotor, ganas dan pihak British pun mengambil rekod tersebut serta masukan perkataan tersebut dalam kamus mereka dengan sebutan ‘pariah’. haha. Yang British tidak tahu ialah, suku kaum tersebut jadi begitu akibat penindasan serta disisihkan dari kampung sejak ribuan tahun oleh ajaran / pengaruh Brahmin. Selepas itu, masyarakat Tamil india yang dah sebati dengan semangat kasta pun hidup berpuak-puak serta mempunyai fikiran yang negatif terhadap kasta rendah walaupun bangsa dan bahasa sama. Sampai sekarang kebanyakan masyarakat Tamil india tidak peduli pasal sejarah kewujudan kasta dan mereka pun terus halalkan kasta atas nama agama. Jadi kawan, saya sebenarnya tak rasa apa-apa bila Melayu atau yang lain sebut ‘pariah’ kerana mereka tidak tahu sejarahnya. Yang saya rasa terkilan ialah walaupun zaman dah berubah, apabila kebanyakan orang Tamil terutama kasta tinggi gunakan terma atau gelaran ‘pariah’ untuk merujuk orang yang tidak bertamadun atau sivik sampai sekarang terhadap orangnya sendiri. haha. Ini lagi parah dan saya sarankan kamu perbetulkan dulu mentaliti ini sebelum terasa dengan kata-kata orang lain”, kata saya. Sekali lagi saya tekankan jika ada mana-mana pihak dengan spesifik menghina apa-apa bangsa termasuk Tamil, saya akan kecam dan lakukan apa yang sepatutnya tetapi bab-bab perkataan seperti keling atau pariah ini saya rasa kita harus letak tepi dan lihat yang lebih penting.

Sebelum saya habiskan topik ini, saya kongsikan satu cerita dan kamu buat bacaan lanjut mengenai perkara ini nanti. Ada sejenis masyarakat Tamil iaitu tamil dari illangai / eelam ( illangai / eelam ialam nama lama untuk Sri Lanka, Ceylon diberikan oleh British dan Sri Lanka ialah nama baru. Tamil eelam ini berbeza dengan masyarakat Tamil india atau Tamil Ceylon), semasa mulanya perang saudara pada awal 80-an, telah ramai berhijrah / larikan diri ke negara-negara Eropah sebagai pelarian. Kita maklum bahawa status pelarian tidak ada apa-apa keistimewaan dan mereka sekadar menumpang sahaja di sesebuah negara. Jadi masyarakat Tamil Eelam dengan status pelarian telah berkerja dalam pelbagai sektor bawahan dan mewujudkan rangkaian mereka sendiri untuk uruskan hal ehwal sendiri. Mereka tidak meminta atau tepat menerima apa-apa bantuan dari Kerajaan tempatan. Mereka juga tidak merungut atau memberi alasan atas keadaan hidup mereka sebagai pelarian. Mereka hanya bergantung pada usaha keras, jujur, semangat bangsa dan setia kepada Tanah yang diduduki, menghormati-menerima budaya-sejarah orang asal (mat salleh), berdisiplin, mempunyai kesedaran yang tinggi dan mereka hanya gunakan sumber yang terhad. Selepas seketika, kerajaan atau negara yang mereka duduki sendiri telah mengiktiraf mereka, diberi taraf kerakyatan atas sumbangan besar mereka terhadap pembangunan sosial dan ekonomi negara. Sekarang mereka merupakan antara golongan minoriti diaspora yang paling berjaya di negara-negara seperti Kanada, U.K, Switzerland, Perancis, Australia dan beberapa lagi. Soalan saya, bagaimana ? bagaimana mereka mampu berjaya ? bagimana mereka mampu asimilasi dengan orang asal ? bagaimana mereka dapat buat begini, maju dengan populasi kecil dibandingkan dengan Tamil india yang jauh besar tidak dapat buat ?, kaji, baca mengenai perkara ini dan kita bincang lagi ye

“Dia begini macha, di Malaysia kita mempunyai pelbagai bangsa dan setiap satu itu mempunyai sejarah yang tersendiri. Suka atau tidak realitinya ialah sekarang ya kita semua ‘Anak Malaysia’, tetapi tetapi kita sentiasa harus ingat sejarah serta asal usual di mana tak kira Cina atau Tamil india, moyang kita dibawa untuk kerja atau tepat dikerah oleh penjajah British ke Tanah Malaya atas faktor ekonomi dan kepentingan mereka. Orang Nusantara ialah kelompok Bangsa termasuk Melayu yang mendiami kawasan kepulauan nusantara dari Cambodia sehingga Filipina. Mereka berkongsi leluhur DNA yang sama dan sebab itu mereka dari segi rupa paras fizikal kelihatan sama, cuma bahasa, agama dan budaya berbeza. Jadi di Malaysia / Tanah Melayu / Malaya, orang asalnya memang Melayu dan pelbagai suku kaum yang lain yang mempunyai sejarah tamadun, budaya dan ekonomi mereka sendiri. Masyarakat Cina di sini bukan datang dari keturunan Puteri Hang Li Poh Melaka dan masyarakat Tamil bukan dari generasi Chola Lembah bujang. Kita ada kaitan atau perhubungan sejarah dengan Tanah Melayu tetapi harus faham kita bukan asal sini atau boleh ‘claim’ semua. Masyarakat Cina sebagai pedagang atau bangsawan dalam gelombang kecil pertama dan gelombang kedua besar iaitu majoriti datang sebagai buruh atau pelombong biji timah demi hidup yang lebih baik dan lari dari kemelut politik mereka sendiri. Kita pula Tamil dalam gelombang kecil pertama sebagai pedagang, bangsawan dan kemudian dalam gelombang kedua majoriti besar datang sebagai buruh ladang getah demi mencari hidup yang baik serta lari dari kemelut / penindasan kasta. Moyang saya misalnya berhijrah ke Malaya dari Tamil Nadu sebagai buruh juga akibat penindasan kasta oleh bangsa sendiri dan saya dapat ketahui lebih lanjut apabila melawat kampung halaman datuk saya di sana pada tahun 2019.

Kenapa saya sebut perkara-perkara ini ? Sebab untuk menunjukkan asal-usul bangsa di Malaysia. Ya memang semua berjasa dan menabur bakti terhadap negara tetapi mendapat bahagian masing-masing dalam Perjanjian Kemerdekaan yang dibuat wakil / pemimpin kaum masing-masing dengan pihak British. Untuk kerelaan menerima saudara baru Cina dan India sebagai anak Malaysia dalam proses mendapatkan Kemerdekaan, orang melayu diberi keistimewaan dalam Perlembagaan Persekutuan. Beberapa pilihan diberi kepada orang cina dan india tetapi wakil komuniti cina dan india memilih untuk setia kepada Negara, Tanah ini dan menerima kedudukan istimewa melayu dalam Perlembagaan Persekutuan untuk taraf kewarganegaraan. Di dalam rundingan tersebut, ‘KITA’ memilih untuk bersatu padu, hormat-menghormati antara satu sama lain dan berganding bahu dalam menjaga ‘Keluarga Malaysia’ ini.

Sejarah moden kita bermula dari situ dan sejak itu banyak telah berlaku iaitu perubahan ketara dalam arena politik dan sosial negara (bab ini panjang untuk huraikan dengan lanjut jadi kita simpan untuk sesi yang lain). Apabila saya membesar dalam suasana yang aman harmoni ini bersama pelbagai kaum, mendapat segala keperluan asas dan mula membaca, mengkaji mengenai sejarah asal-usul moyang serta bab kemerdekaan, saya rasa bersyukur dan terhutang budi kepada Tanah ini serta orang asalnya. Pada pandangan saya, dalam politik, kita rakyat Malaysia mungkin ada perbezaan pendapat, kita mungkin ada masalah tetapi ada jalan penyelesainya untuk semua dan jangan sesekali membawa politik ke dalam hubungan antara kaum ini. Ini yang masalahnya sekarang dengan segelintir rakyat cina dan india apabila lupa sejarah dan membawa politik dalam hubungan antara kaum. Pandang rendah, mempertikaikan kedudukan istimewa atau asal usul Melayu, beranggapan mereka malas atau tiada kebolehan selepas kita dah maju dan berada di atas dari segi ekonomi, bermegah dengan tamadun sendiri dan memperkecilkan sejarah-budaya-tamadun Melayu. Jika buat begini bagaimana perpaduan akan wujud ? Tanya diri sendiri. Semua bangsa ada masalah dan tiada yang sempurna, malah majoriti Melayu sendiri sedar masalah politik negara dan bagaimana segelintir dari mereka menggunakan ‘agama dan bangsa’ untuk kepentingan politik tetapi tetapi kita sebagai bukan Melayu harus kenal perbezaan antara politik dan hubungan antara kaum. Hanya kerana politik kita pukul rata dan label semua Melayu sama dan salahkan mereka pulak atas masalah dalam negara atau masalah dalam komuniti kita sendiri. Jadi itulah, kita ambil contoh mana-mana negara pun, kita harus faham dan hormati sentimen, sejarah, bangsa dan agama orang asal sesebuah negara dahulu sebelum mereka memahami kita. Kita tunjukkan contoh yang baik, memberi keyakinan kepada mereka bahawa kita bertanggungjawab terhadap Tanah ini. Bila dah ada semangat ini, ahli politik atau politik tidak dapat mempergunakan kita lagi. Selagi itu, perpaduan tidak akan dikecapi dan masalah tidak akan selesai. Perpaduan hanya kekal di kertas dan sekadar laungan sahaja.

Jadi kesimpulanya, akhir kata, saya tak kisah jika sesiapa memberi apa-apa gelaran kepada saya, hidup saya tak terkesan melalui komen atau kecaman sesiapa kerana saya berpegang kepada prinsip yang saya ikuti sejak lama dan boleh dikatakan saya amat gembira, aman dan tenang dengan perjalanan saya. Saya katakan kepada rakan saya bahawa “Saya ‘Pro-Negara’ dan apabila saya katakan ‘Pro-Negara’ saya akan memberi keutamaan kepada kepentingan Negara dahulu dan seterusnya kepada komuniti bangsa saya. Saya tidak pernah lupa tanggungjawab terhadap bangsa juga dan saya akan terus lakukanya semampu boleh. Sahabat-sahabat ingat saya hanya menulis sahaja tetapi anda tidak tahu kerja-kerja atau pelan ‘turun padang’ yang saya lakukan dengan pelbagai pihak di belakang tabir. Satu hari nanti anda akan lihat hasilnya. Jadi setakat ini saya harap penjelasan ini serba sedikit membantu kamu dan jika kamu rasa apa yang saya katakan itu betul, logik atau penting untuk dibawa ke tahap seterunys, mari, datanglah sertai usaha saya untuk kita bersama-sama menyebarkan aura perpaduan keharmonian demi kebaikan semua. Perkataan ‘saya’ ‘engkau’ tidak dapat membuat perubahan sebab ia kuasa yang kecil tetapi perkataan ‘kita’ ialah kuasa besar dan itulah yang dapat buat perubahan. Tak ada gunanya kita gaduh atau sebarkan kebencian sebab ia membawa lebih keburukan kepada semua. Setiap bangsa ada kelebihan, kekurangan, sejarah masing-masing, jadi apa kata kita ambil iktibar dan gunakan untuk pembangunan ‘Bangsa Malaysia’ yang sebenar ? Ada masalah, mari kita duduk berbincang dan ikuti saluran yang betul untuk jalan penyelesaian”.

“Cukuplah-cukup !, kami pun dah letih dengar dan kau pulak masih nak teruskan. Takpa terima kasih kerana jelaskan semua ini, kami faham serba sedikit sekarang tapi akan baca, lakukan kajian lanjut dan jumpa kau balik” kata kawan-kawan saya. Jadi itulah pengakhiran kejadian yang berlaku tempoh hari. Terima kasih kepada semua sahabat-sahabat yang sudi membaca walaupun panjang lebar. Meminta maaf kepada anda semua jika terdapat apa-apa pernyataan / perkataan yang menyinggung perasaan anda dan sila perbetulkan saya jika terdapat apa-apa kesalahan. Saya akan terima kritikan dan pandangan dengan hati terbuka.

Krishna Kumar illangovan @ K.K.I

17-07-2022

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.