Wajib sokong ! Filem Mat Kilau yang bakal ditayangkan di pawagam seluruh negara pada Khamis nanti.

Wajib sokong ! Ingin berkongsi sedikit cerita mengenai Filem Mat Kilau yang bakal ditayangkan di pawagam seluruh negara pada Khamis nanti.
Terlebih dahulu, ingin saya ucapkan salam sejahtera kepada semua rakan-rakan dan marilah kita terus ke cerita.
Sebulan yang lepas, semasa tatal suapan berita facebook saya, sekilas pandang nampak satu poster dengan perkataan ‘trailer filem Mat Kilau dah keluar dalam youtube’.
Hairan saya melihat poster itu dan rasa ingin tahu membuak-buak apabila melihat nama Mat Kilau. Saya masih ingat kisah Pahlawan Mat Kilau dan perjuangan beliau menentang penjajah British, semasa belajar subjek Sejarah di sekolah menengah. Tambahan pulak, Sejarah memang subjek kegemaran dan saya mendapat gred ‘A’ dalam SPM, hehex
Jadi dengan keterujaan saya pun tekan pautan trailer itu ke youtube dan video pun terpapar. Sejurus habis melihatnya satu perkataan sahaja terlintas dalam minda, “wow” !. Terus saya tinggalkan komen di dalam peti komen tersebut berbunyi “Fuuh, padu dan terbaek trailer Pastinya 23 Jun nanti akan pergi sokong filem berkualiti tinggi ini di pawagam. Filem seperti inilah kita nak, yang naikan semangat dan jati diri. Ia penting untuk generasi muda sekarang terutama Cina dan Tamil india seperti kami. Masih ingat kisah Pahlawan Melayu Mat Kilau semasa belajar Sejarah di Sekolah Menengah
” yang mendapat 295 sukaan likes.
Kenapa saya teruja sebegitu ? Sebagai seorang nasionalis dan cintakan sejarah, saya dapati sebilangan rakyat kita sekarang kekurangan kesedaran sejarah, jati diri bangsa, negara dan lebih memberi keutamaan pada keselesaan kebendaan, ditambah pula disuap dengan kandungan ‘sampah’ di media sosial dan televisyen. Segelintir ahli politik / pihak atasan pulak sibuk mengaut keuntungan (duit, kuasa, pangkat) dengan laungan nasionalisme palsu ! Minta maaf kepada anda semua jika bahasa saya kasar. Bahasa mungkin kasar tetapi apa yang disebut ialah kebenaran yang pahit. Memang parah. Perkara-perkara ini lah yang selalu saya dah rakan-rakan Melayu saya berbincang.
Jadi di saat, kita menghadapi situasi sebegini, muncul pulak filem Mat Kilau yang berkisarkan kejadian benar sejarah mengenai jati diri, pengorbanan, perlunya semangat mempertahankan kedaulatan negara dan maruah bangsa dari anasir jahat. Pihak penerbit filem boleh sahaja memilih subjek komersil yang memberi keuntungan maksimum atau pilihan orang ramai, tetapi mereka memilih subjek kontroversi dan sesuatu yang dilihat masih baru di arena moden perfileman negara.
Usaha mereka boleh dilihat dalam trailer di mana bab teknikal, prop dan watak-watak menunjukan hasil yang amat baik. Kita boleh rasa semangatnya melalui trailer ini. Semestinya apabila menyentuh bab sejarah, kita tak dapat menunjukkan 100% fakta dalam filem kerana ia akan memberi kesan bosan, statik malah jalan penceritaan akan lebih kepada dokumentari. Rugi juga pelaburan berjuta-juta ringgit kalau seperti itu dan ia akan memberi kesan kepada penghasilan filem subjek seumpamanya di masa hadapan. Jadi terpaksalah selitkan unsur komersil dan fantasi untuk memenarikan cerita. Ia sesuatu yang biasa dalam filem-filem sejarah buatan India atau Tamil terutamanya yang mendapat kutipan box office. Apa-apa pun kritikan harus diterima dan penambahbaikan harus dibuat dari masa ke masa untuk memastikan intipati / kandungan asal terjaga oleh semua pihak terlibat.
Fuuh terpesong sikit dari tujuan asal sehingga menyentuh bab teknikal, hehex. Maaf ye semua. Jadi berbalik kepada topik asal, walau ada apa-apa masalah pun di dalam filem tersebut, untuk seketika, marilah kita letakan tepi dahulu semua, marilah kita lihat kesan dan mesej besar filem ini memberi kepada masyarakat kita nanti. Sejarah tak pernah salah dan ia sentiasa mengajar kita !.
Saya melihat cara, percubaan dan filem ‘Mat Kilau’ ini sebagai permata. Permata inilah nasionalisme yang sebenar. Jadi adalah tanggungjawab kita untuk membawa, menjaga dan menurunkan permata tersebut kepada generasi muda. Biar filem ini menjadi percikan kecil api menyemarakkan semangat besar Melayu yang benar. Permata-permata inilah yang mampu membuka minda lebih ramai saudara-saudara Cina dan India untuk memahami perjuangan Pahlawan Melayu serta melahirkan jati diri yang sebenar.
Akhir kata, saya harap lebih banyak filem dan produksi berkaitan topik sebegini dihasilkan agar ia memberi nafas baru kepada rakyat kita. Untuk filem ‘Mat Kilau’ saya harap influencer dan ahli-ahli politik pelbagai latar belakang memberi sokongan dari pelbagai sudut seperti mempromosikan di platform anda, menaja tiket untuk pelajar atau yang tidak berkemampuan dan lain-lain. Kita yang majoriti rakyat marhaen pulak, boleh menyokong dengan menonton filem di pawagam bersama keluarga dan rakan-rakan.
Saya setakat ini, telah memberi sokongan dengan membeli baju rasmi filem dari penerbit, berkongsi trailer dan minta tonton di pawagam dengan semua kenalan-rakan saya, promosikan artikel-poster di portal media saya dan juga membeli tiket menonton di pawagam Khamis nanti.
Jika ada yang tinggal sekitar KL dan ingin turut serta untuk tayangan boleh sahaja hubungi saya. Kita pergi bersama-sama
Terima Kasih kerana membaca dan coretan ini adalah pandangan saya. Jika terlanjur kata, saya meminta maaf.
UPDATE: Pandangan di atas saya telah kongsikan sebelum filem Mat Kilau keluar dan berikut di bawah ialah update terkini di mana saya telah menonton tayangan hari pertama dengan sahabat Melayu dan Cina.
“Fitri-Krishna-Ivan . 3 bangsa berlainan tetapi satu semangat menonton tayangan hari pertama Filem Mat Kilau. Boleh dikatakan satu filem yang sarat dengan mesej yang bermakna dan adegan-adegan yang padu.
Filem untuk semua dan harap usaha ini menjadi titik permulaan untuk lebih banyak produksi dan keluaran di masa hadapan berkaitan sejarah dan jati diri negara. Ada ruang untuk penambahbaikan jadi kita harap pihak penerbit-pengarah terima pandangan semua A must watch Malaysian made high quality movie. Btw saya rasa perlu repeat balik tonton untuk kali kedua
“

Krishna Kumar illangovan
TEMPAT