Pengalaman Kali Pertama Berpuasa Penuh Dan Sambut Hari Raya 2022 Dengan Sahabat-Sahabat Melayu

Meluangkan masa bersama sahabat-sahabat di Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri. Merekalah yang menjadi sokongan dan motivasi kepada saya melengkapkan puasa penuh iaitu 29 hari. Sebelum ke artikel, saya ingin ucapkan Salam Sejahtera dan Selamat Hari Raya Aidilfitri 1443H/2022M kepada semua sahabat yang menyambutnya. Maaf zahir dan batin 🤗🙏🏻

Terlebih dahulu ingin meminta maaf kepada anda semua yang membaca jika terdapat kesalahan tatabahasa, susunan cerita yang tidak teratur atau kelihatan tidak profesional dalam artikel ini sebab ia dibuat dengan ‘copy paste’ kapsyen beberapa hantaran saya tahun lepas di facebook dan disekalikan.

Saja je pakai set Baju Melayu dan ikut kawan (tamil india) ke Kuil. Nak lihat reaksi orang di sana. Tapi terbaik dan gembira lihat semua biasa-biasa je sehingga ada seorang tu datang bergambar dengan saya. hehex. Rasa mcm model pulak 😆

Walaupun sebelum ini ada berpuasa tetapi hanya satu atau dua hari bersama rakan sekerja dan jiran. Selalunya saya akan sertai jamuan hari raya jiran, kawan-kawan dan memberi duit raya kepada anak-anak mereka. Saya memang selalu ingin berpuasa penuh tetapi masa dan situasi tidak mengizinkan.Jadi tetiba dapat ilham dua hari sebelum bulan Ramadhan tiba dan selepas dapatkan nasihat dari kawan karib saya Fitri dan Shafiq, saya pun berniat turut serta berpuasa penuh sama-sama dengan mereka.

Hari pertama berpuasa tanpa bersahur kerana terlajak tidur, hehex 😅, tapi berjaya tetapkan minda dan badan untuk bangun awal dan bersahur sebelum azan subuh pada hari-hari berikutnya. Pada awalnya, beberapa hari mengalami sedikit kesukaran, malah, hampir minum air tetapi berjaya kawal keinginan dan teruskan sehingga berbuka tepat pada masanya. Walaupun penat dengan kerja yang berat tetapi niat diteruskan. Berikut adalah kapsyen hantaran hari pertama berpuasa yang saya kongsikan di facebook.

“Akhirnya saya pun berjaya melengkapkan hari pertama puasa penuh ! ♥️

Terlebih dahulu saya ingin ucapkan Selamat Menjalani Ibadah Puasa buat Semua Kaum Muslimin dan Muslimat di bulan Ramadan ini.

Terima kasih kepada Sahabatku Fitri dan Shafiq atas nasihat dan pencerahan mengenai cara, waktu bermula dan berbuka puasa.

Saya boleh jangkakan, ada kawan-kawan yang dah mula ada pelbagai soalan bermain di minda. 😃

Sekejap ye sahabat-sahabat, saudara-saudaraku, tuan-tuan dan puan-pun sekalian. Akan saya jelaskan, beri jawapan untuk segala persoalan anda di bawah. 🤗

Sepertimana saya kongsikan latar belakang saya di mana membesar dan hidup dalam persekitaran ramai kawan Melayu, saya sentiasa ada keinginan untuk cuba bagaimana rasanya mengambil puasa dan turut serta dalam ibadah yang istimewa ini.

Saya percaya ada kebaikan tersendiri kepada badan, minda dan jiwa melalui puasa. Ibadah Puasa sendiri mempunyai tujuan kemanusiaan di mana kelaparan itu menyedarkan bahawa manusia semua sama sahaja dari segala sudut, rezeki harus dikongsi sesama manusia, menjadikan kita lebih disiplin dan paling utama bersyukur kepada Tuhan.

Oleh kerana itu, saya percaya ia juga mampu mengeratkan lagi hubungan silaturahim antara rakyat berbilang bangsa di bumi indah yang dipanggil Malaysia ini. Saya merasakan sesiapa sahaja boleh turut serta dalam Puasa ini. Cuma, masa dan situasi tidak mengizinkan untuk saya mengambil puasa penuh dulu.

Berbalik kepada kisah saya pulak, saya sebenarnya membuat keputusan untuk berpuasa pada Jumaat lepas. Tiba-tiba dapat ilham tengah malam dan terus saya tanya sahabat baik iaitu Fitri dan Shafiq. Mereka gembira mendengar kehendak saya dan terus memberi kata-kata dorongan serta tips-tips berpuasa. Selepas itu, saya sendiri membuat persediaan dengan membaca perkara-perkara berkaitan dan tata cara berpuasa.

Semua urusan berjalan dengan lancar dan hari yang dinanti-nantikan pun tiba. Dah buat segala persediaan pada malam Sabtu dan tetapkan jam loceng pada pukul 5pagi Ahad untuk bersahur.

Tetapi, tak dijangka langsung, saya terlajak tidur dan bangun terjaga apabila terdengar azan Subuh. Hati sedikit kecewa apabila sedar dah terlambat, tak sahur tetapi tiba-tiba dapat ilham lagi dan naluri beritahu “takpa, dah terlajak dan teruskan sahaja Krishna puasa kamu tanpa bersahur dan kamu boleh lakukanya”.

Saya pun terus sembahyang kepada Tuhan dalam hati dan meminta izin, restu untuk teruskan puasa. Selepas itu saya pun mandi, telefon kawan saya Fitri beritahu mengenai hal ini dan teruskan dengan aktiviti-aktiviti harian saya. Pagi-pagi menemani kawan saya yang masuk hari pertama kelas tarian tradisional Tamil iaitu Bharatanatyam di Jalan Ipoh dan seterusnya saya ke Serdang untuk menolong Kakak saudara yang bakal berkahwin dalam masa 2 minggu.

Sesudah sampai di Serdang, saya terus menolong kakak saudara kemaskan rumah. Rasa lapar dan lemah tetapi saya kuatkan azam dan terus tahan sehingga masa berbuka puasa hampir. Jam menunjukkan pukul 6.30 petang dan saya melihat mak cik tengah menyediakan makanan untuk saya berbuka puasa. Saya pulak ke kedai berdekatan untuk dapatkan Kurma, sebagai pembuka puasa seperti yang disyorkan oleh sahabatku.

Akhirnya masa berbuka tiba dan selepas sembahyang, berterima kasih kepada Tuhan, terus saya makan Kurma diikuti dengan masakan mak cik saya. Fuuh, lega dan rasa nikmat tak terhingga. Itulah pengalaman saya hari dan kali pertama Berpuasa.

Harap ia berterusan dan harap semua berjalan lancar dengan izin Tuhan. Semoga dipermudahan segala urusan. Terima Kasih kerana membaca 🤲🏻🙏🏻😉💐

NOTA : Tuhan yang nyatakan di atas bukan berhala. Saya masih dalam pencarian dan pada pandangan saya TUHAN adalah satu kuasa yang amat besar, tiada rupa, tiada jelmaan dan lain-lain. Saya percaya kuasaNya ada di situ, cuma kita perlu cari kebenaranya. Bab ini / kepercayaan saya, nanti saya kongsikan dalam post lain ye 😉🙏🏻🤝“.

Bukan setakat menahan lapar dah dahaga sahaja tetapi sepanjang berpuasa di bulan Ramadhan bersama sahabat-sahabat muslim saya, saya belajar banyak perkara-perkara baru.

Di bawah saya kongsikan perkara yang saya belajar dan juga pemahaman terdahulu saya mengenai ibadat berpuasa untuk kawan-kawan saya terutama bukan muslim ;

Tapi sebelum itu, ada satu luahan kecil. Beberapa kenalan saya (non-muslim) salah faham apabila saya kongsikan hantaran hari pertama berpuasa di facebook. Mereka takut saya ini akan ‘convert’ pulak 🤦🏽😄. Terpaksa saya fahamkan mereka dengan beberapa soalan, jawapan dan kongsikan latar belakang saya dari kecil yang belajar dan masih mengkaji ajaran agama yang pelbagai ini. Cuma sekarang saya dalam perjalanan rohani tersendiri mencari jawapan untuk ‘Satu Kebenaran & Tuhan’. Perjalanan masih jauh dan bab ini kita bincang satu hari nanti. Jadi ringkasnya, saya beritahu mereka bahawa tidak salah untuk belajar perkara baru dan tidak salah untuk mencuba sesuatu yang memberi kebaikan. Lagipun kita ini, tinggal di tanah indah dipanggil ‘Malaysia’ yang mempunyai rakyat berbilang bangsa serta agama. Sentiasa ingat sejarah, asal-usul dan masa depan. Jika pemikiran sentiasa fikirkan ‘jurang’, bila kita hendak ‘rapatkan’ hubungan sesama kita ? Oleh kerana ramai antara kita mempunyai pemikiran tersebut, ahli politik dan agenda kotor mempergunakan kita dengan ‘full throttle’ untuk kepentingan mereka sendiri.

Perpaduan hanya akan dikecapi apabila kita saling faham memahami, hormat-menghormati antara satu sama lain. Saya ada juga kawan Melayu yang pakai ‘Vesti Hibrid’ (atas Baju Melayu, bawah Vesti) Vesti tu lebih kurang seperti kain pelikat tetapi warna putih yang merupakan pakaian tradisional orang Tamil, untuk satu majlis adat ‘Ponggal’ iaitu perayaan menuai orang Tamil, hehex 😆. Okay je kawan saya tu. Nampak segak berseri-seri. Akhirnya selepas dibasuh seketika, mereka setuju dan berjanji akan sertai saya tahun depan untuk berpuasa sama-sama. Yaaayh 🤲🏻😀🤝

Hari ketiga dan berbuka puasa dengan brother Johari Jaafar Jqe yang datang jauh dari Rawang. Terima kasih atas juadah berbuka puasa dan Semoga dimurahkan rezeki selalu. Dari agama sehingga ke topik politik, 5 jam kami berbual. Pengetahuan dikongsi antara satu sama lain dan kerjasama dalam beberapa aktiviti perpaduan juga dirancang.

Pada hari kesepuluh berpuasa pulak berbuka dengan Ustaz brother Ahmad Iqram Mohamad Noor yang terkenal dengan video dan buku perbandingan agama. Terima kasih kepada Brother Johari Jaafar Jqe atas peluang ini. Fuuh, nikmat yang luar biasa kali ini apabila dapat meluangkan masa serta berkongsi pendapat dengan orang-orang yang beriman dan berpengetahuan tinggi. Pelbagai isu dibincang seperti biasa dan bersetuju untuk berganding bahu dalam beberapa perkara yang nanti akan saya kongsikan dari masa ke masa. Ustaz juga menghadiahkan buku terbaru beliau kepada saya iaitu ‘Ekstremisme Hindutva / Dari India Ke Malaysia’. Akan saya baca mendalaminya.

Terima Kasih sekali lagi kepada Ustaz Ahmad Iqram dan Brother Johari atas Jemputan, Juadah berbuka, Buku dan Masa. Semoga anda dimurahkan dengan rezeki selalu dan kesihatan yang baik. Harap dipermudahkan segala urusan kita juga nanti. Segala Pujian kepada TUHAN 🤗🤲🏻♥️

Mengenai buku pulak, Sahabat yang berminat boleh dapatkan buku terbaru Pendedahan Hindutva tersebut di link Shopee di bawah ;

https://shopee.com.my/nha_bookstore/15466389231?smtt=0.0.9

https://shopee.com.my/nha_bookstore/15466389231?smtt=0.0.9

Berbalik kepada cerita, jadi kebaikan Pertama melalui berpuasa ialah kita dapat memahami perasaan sahabat Melayu Islam yang mengeratkan perpaduan sebab kita kan Anak Tanah Malaya 🤗.

Kedua, mendalami situasi, perasaan golongan asnaf bertahan lapar akibat kemiskinan yang juga memberi kesedaran bahawa manusia mempunyai tanggungjawab menolong dan berkongsi rezeki lebih dengan seumatnya. Sentiasa menjadi manusia yang bersyukur atas hidup diberi dan jangan membazir. Tiada sesiapa yang tinggi atau rendah nilainya.

Ketiga, ia bagus untuk kesihatan. Apabila kita berpuasa untuk tempoh lama, kelaparan itu akan mewujudkan satu proses di mana sel tubuh mengalami proses kitar semula iaitu sel rosak akan digantikan dengan baru yang lebih sihat, kuat. Malah, ia membantu melambatkan proses penuaan.

Keempat, ia mendisiplinkan kita. Lumrah manusia, emosi berbagai-bagai, lagi-lagi di saat lapar. Bukan mudah nak kawal emosi dan lakukan aktiviti harian kita di samping pelbagai manusia. Jadi di sini, saya belajar cara kawal emosi, nafsu. Lebih sabar dengan penggunaan kata-kata sopan yang tidak menguris perasaan orang lain, tidak mendengar, bercakap buruk mengenai orang atau hal peribadi mereka (mengumpat), memaafkan kesalahan seseorang dengan mudah kerana mereka tidak sengaja, tidak melihat perkara / benda tidak baik yang boleh membatalkan niat ikhlas kita atau menganggu fokus.

Kelima, dapat ketenangan dan nikmat yang tidak dapat diluahkan melalui kata-kata. Apabila kita dengan ikhlas, azam yang kuat untuk mencapai sesuatu dalam hidup, fikirkan mengenai Tuhan Yang Maha Esa dan berpuasa selama lebih 12jam, mengharungi pelbagai cabaran, kelaparan dalam tempoh masa tersebut DAN akhirnya berbuka puasa dengan memakan sebiji kurma serta minum seteguk air, Di Saat itulah terhasilnya satu detik syahdu. Saat itu setiap cebisan makanan yang disuap dalam mulut terasa amat sedap dan badan, minda rasa sangat tenang. Woaah 😍🤲🏻💫🌿

Syukur, Nikmat dan Segala Pujian kepada Tuhan 🤗

Terima Kasih kerana membaca sahabat-sahabat semua, semoga dipermudahkan segala urusan anda dan selamat berehat 😉🤲🏻 – Krishna Krisz

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.